Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah bercakap pada sidang media mengenai memohon rayuan operasi semula perniagaan pasar malam di Bandar Teknologi Kajang, Semenyih, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 15 JANUARI 2021.

KAJANG – Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) mahu Perdana Menteri campur tangan isu peniaga pasar malam dan uptown yang hilang punca pendapatan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presidennya, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah mendakwa, kira-kira 200,000 peniaga dan penjaja di Lembah Klang akan kehilangan pendapatan sekali lagi sekiranya kerajaan terus menghalang mereka berniaga seperti biasa.

“Kerajaan hari ini tak nak fikir pasal politik, mereka utamakan nasib rakyat hari ini terutamanya golongan miskin ini.

“Hari ini peniaga pasar malam, uptown dan downtown mereka memang situasi susah, kalau usahawan IKS, mereka dapat pelbagai bantuan dalam situasi Covid-19 termasuk 40 peratus gaji pekerja dibayar oleh PERKESO.

“Bagaimana pula dengan peniaga-peniaga kecil di tepi jalan, jangan fikir dengan bantuan prihatin RM3,000 peniaga yang berdaftar dengan SSM ini semua masalah mereka selesai,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Dalam pada itu, sekiranya kerajaan bertegas tidak membenarkan peniaga-peniaga kecil ini berniaga, Ikhlas mendesak kerajaan agar memberi pampasan, sesuai dengan jumlah kerugian yang ditanggung mereka sepanjang tempoh PKP ini.

“Kita minta satu peruntukan atau pampasan daripada Kerajaan Persekutuan bantu peniaga-peniaga pasar malam termasuk uptown dan downtown sekiranya mereka terus dihalang berniaga.

“Saya yakin tempoh PKP tidak akan berakhir setakat 14 hari sahaja, mungkin dilanjutkan hingga Mac tahun ini, sementara menunggu ketibaan vaksin Covid-19 ke Malaysia.

“Sekarang ini, siapa nak bagi mereka makan? Setakat ini peniaga-peniaga kecil belum mendapat apa-apa bantuan daripada kerajaan lagi,” katanya.

Mohd Ridzuan juga mendakwa, golongan mewah mendapat pelbagai bentuk pampasan daripada kerajaan khususnya syarikat-syarikat besar dengan diberikan geran kerajaan.

“Peniaga gerai yang duduk tepi jalan ini, apa bantuan yang kerajaan boleh berikan kepada mereka,” katanya.

Mohd Ridzuan juga mengingatkan kerajaan bahawa golongan peniaga kecil di seluruh Malaysia kini mencecah 1.5 juta adalah pengundi yang berdaftar.

“Kuasa golongan peniaga kecil ini suara keramat, boleh menentukan kerajaan pada PRU15. Siapa nak bela mereka?

“Saya minta tolong Tan Sri Muhyiddin Yassin selesai masalah orang miskin ini, mereka ini bukan kaya, tak lama lagi anak-anak nak bersekolah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mempersoalkan tindakan kerajaan yang membenarkan pasaraya dan pusat beli-belah dan pasar pagi di beberapa negeri beroperasi seperti biasa.

“Adakah Covid-19 waktu pagi tak serang orang? Adakah Covid-19 hanya serang orang waktu malam sahaja?

“Ini antara persoalan yang ditimbulkan peniaga-peniaga kecil kepada saya. Bagi sesetengah orang ini soalan bodoh, tapi bagi saya penting,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) sekiranya Kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih gagal menyelesaikan masalah peniaga-peniaga kecil yang hilang punca pendapatan ini.

“Hari ini kita nampak arahan (PKP) datang daripada Agong, jadi kita sebagai rakyat, kalau Perdana Menteri tak bleh bantu, kita yakin Agong akan bantu kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette