Skuad Harimau Malaya semasa sesi latihan bagi menghadapi perlawanan antarabangsa Tier 1 di Padang Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 06 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Selepas setahun tidak berlatih, skuad bola sepak kebangsaan kini boleh menarik nafas lega selepas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi lampu hijau untuk menjalankan latihan pusat di Majlis Sukan Negara (MSN) dengan pendekatan kuarantin dalam masa terdekat ini.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, perkara itu dipersetujui menerusi perbincangan bersama MSN dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas melihat MSN menjadi tempat yang sesuai untuk menjalankan kem latihan pusat.

“Selepas berbincang dengan Presiden FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin), saya lihat mereka boleh menggunakan premis MSN sebagai premis latihan mereka kerana premis MSN mempunyai fasiliti dan operasi secara kuarantin ini mudah untuk dilakukan.

“Justeru, saya beri cadangan kepada Presiden FAM untuk menggunakan langkah ini. Saya difahamkan Presiden FAM pun berbincang dengan Ketua Pengarah MSN (Ahmad Shapawi Ismail) dan secara prinsipnya, ini adalah pendekatan yang akan digunakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Venue latihan di MSN yang akan digunakan sebagai persiapan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu dijangka boleh menempatkan sehingga 30 ke 40 orang termasuk barisan kejurulatihan, pegawai dan pemain.

Sebelum ini, latihan pusat di bawah kendalian Tan Cheng Hoe sepatutnya bermula Sabtu lalu, namun terpaksa dibatalkan selepas Selangor tersenarai antara negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 13 Januari lalu.

“Ia tetap diteruskan seperti biasa. Kita berjaya mendapat lampu hijau daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana kita lakukan latihan pusat dengan prosedur operasi standard (SOP) yang agak tersendiri,” katanya.

Setakat ini seramai 632 atlet, jurulatih dan anggota dalam 28 jenis sukan terbabit di lima lokasi latihan berpusat iaitu Kompleks MSN Bukit Jalil, Kompleks MSN Taman Keramat, Akademi Badminton Bukit Kiara, Pusat Latihan Kebangsaan Perahu Layar Langkawi dan Velodrom Nilai. – MalaysiaGazette