Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Dr. Ahmad Sani Araby Al-Kahery (tengah) bersama Pendakwah Bebas, Ustaz Shahrizan Daud At-Turabi (dua dari kiri) bergambar bersama barangan bantuan yang diterima dalam Penyerahan Barangan Keperluan Bagi Misi Ummah Bantu Ummah – Misi Bantuan Kemanusiaan Krisis COVID-19 MAPIM Malaysia di Ummah Central Warehouse, MAPIM, Sepang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 25 JANUARI 2021.

SEPANG – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) hari ini menerima sumbangan dalam bentuk barangan keperluan bernilai lebih RM425,000 dari dua syarikat korporat bagi Misi Bantuan Kemanusiaan Krisis Covid-19 MAPIM Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Mapim, (Dr.) Ahmad Sani Araby Al-Kahery, pihaknya berbesar hati dan terharu dengan sumbangan yang diterima terutama ketika negara berdepan dengan penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan.

“Hari ini, kita sangat terharu dan gembira apabila menerima sumbangan daripada Syarikat Najjah Avenue Sdn. Bhd iaitu pengeluar tudung linen dan telekung yang menginfaqkan hampir RM250,000 nilaian barangan antaranya 2,000 kotak pelitup muka, telekung, sejadah, jubah, minuman susu kambing Rahmat serta satu kontena air minuman.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Dr. Ahmad Sani Araby Al-Kahery. Foto MOHD ADZLAN, 25 JANUARI 2021.

“Syarikat Ade Azhar Sdn. Bhd. yang merupakan pengeluar al-Quran eksklusif juga turut terpanggil untuk menyampaikan bantuan dengan menghadiahkan sebanyak 500 naskah al-Quran untuk MAPIM sampaikan kepada mereka yang memerlukan,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan di Ummah Central Warehouse, Persiaran Sunsuria hari ini.

Mengulas lanjut mengenai gerak kerja pertubuhan tersebut, Ahmad Sani berkata, selain menyalurkan bantuan harian, MAPIM juga menjalankan Jelajah Peduli Ummah secara besar-besaran di seluruh negara.

Jelas beliau, MAPIM menerima banyak permintaan terutama daripada golongan yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19 seperi mereka yang kehilangan mata pencarian dan mangsa banjir.

“MAPIM akan menghantar sebanyak 30 kontena bantuan pada minggu hadapan dimana kita mensasarkan golongan asnaf, B40, muallaf, petugas barisan hadapan serta mereka yang terjejas akibat Covid-19.

“Kumpulan pertama ini kita gerakkan di kawasan Utara selain memperluaskan khidmat di Sabah dan Sarawak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Sani menjangka Jelajah Peduli Ummah yang digerakkan akan selesai dalam jangka masa dua bulan.

“Yang terkesan akibat wabak ini merupakan mereka yang berada di seluruh pelosok negeri jadi kita gunakan capaian aplikasi I-Ummah supaya dapat mengagihkan bantuan secara lebih efektif dan tiada pertindihan atau keciciran yang berlaku,” katanya lagi.

Tambah Ahmad Sani lagi, bantuan yang disalurkan oleh MAPIM bukan hanya berbentuk makanan malah menawarkan khidmat rawatan kesihatan dengan menggunakan bas dua tingkat yang sudah diubah suai menjadi klinik bergerak.

Kata beliau, sukarelawan yang juga merupakan pakar perubatan akan menjelajah bagi memberikan rawatan percuma dengan menggunakan empat klinik bergerak tersebut. – Malaysia Gazette.