Shahrul Fadhel Mohd Aziz

KOTA BHARU – Pemuda UMNO Kelantan mengemukakan dua cadangan kepada kerajaan bagi mengatasi situasi semasa pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.

Naib Ketuanya, Shahrul Fadhel Mohd Aziz berkata, cadangan itu antaranya mempertimbangkan subsidi 50 peratus untuk kos ujian saringan Covid-19 dan menggesa hospital swasta menawarkan harga lebih murah berbanding kos sekarang yang agak mahal.

Kata beliau, kerajaan perlu mengambil langkah menggunakan ujian saringan secara Kit Ujian Pantas Antigen (RTK-Ag), daripada teknik Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

“Ini kerana ujian RTK-Ag jauh lebih murah daripada ujian RT-PCR yang menyebabkan rakyat marhean tidak mampu menampung kos yang begitu tinggi untuk menjalani ujian saringan Covid-19 ke atas diri mereka.

“Kerajaan perlu pastikan ujian saringan RTK-Ag ini boleh dilakukan di mana-mana premis perkhidmatan kesihatan, termasuk klinik swasta tanpa had dengan kerajaan membiayai separuh daripada harganya

“Cadangan ini adalah untuk mengelakkan situasi pandemik wabak ini yang semakin membimbangkan, tambahan pula kerajaan memperkenalkan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 diseluruh negara, kecuali Sarawak,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kubang Kerian berkata, sekiranya kerajaan menerima cadangan itu dan menguatkuasakan serta merta, ramai rakyat akan tampil secara sukarela untuk membuat ujian itu.

Katanya, inilah masa sesuai bagi syarikat korporat berkenaan menyerlahkan kesanggupan mereka menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR), dalam keadaan semua pihak harus berganding bahu mengambil tanggungjawab bersama memerangi wabak itu daripada terus mengundang resah di kalangan masyarakat.

“Kita berharap langkah ini dipandang serius dan segera dilaksanakan oleh pihak yang bertanggungjawab.

“Seandainya pihak fasiliti kesihatan swasta keberatan untuk menurunkan harga ujian saringan Covid-19, kerajaan boleh menggunakan kuasa-kuasa perlu dalam Proklamasi Darurat yang sedang dilaksanakan ini.

“Dalam keadaan sekarang, sebarang kelewatan dalam tindakan hanya akan mengundang musibah yang semakin buruk,” tegasnya. – MalaysiaGazette