Datuk Seri Dr Mohd Puad Zarkashi
Dr. Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi mempersoal tindakan kerajaan khususnya Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang meletakkan syarat untuk meluluskan perdaftaran Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

Puad berkata, apa yang Perikatan Nasional (PN) gentar dengan pendaftaran parti yang dipimpin oleh golongan muda seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Elok kerajaan PN luluskan sahaja MUDA. Lagi pun takut apa dengan Syed Saddiq. Bajet 2021 sudah pun lulus. Muhyiddin boleh terus jadi PM sampai darurat ditamatkan,” katanya di laman Facebook beliau.

Pada Ahad lalu, Syed Saddiq mendakwa Hamzah ‘memujuknya’ supaya menyokong kerajaan PN sekiranya mahu pendaftaran MUDA diluluskan.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu mendedahkan, perkara itu berlaku semasa sesi perbahasan Belanjawan di Dewan Rakyat.

Puad berkata, Hamzah tidak perlu takut untuk meluluskan parti Syed Saddiq kerana beliau mempunyai kuasa kerana bertanggungjawab terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

“Apa pun jangan main main dengan Hamzah. Dia very powerful. Dia Menteri yang jaga PDRM, ROS dan Imigresen. Dulu Hamzah melutut dengan Tun, sekarang Tun melutut dengan Hamzah untuk daftar PEJUANG,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Puad berkata, beliau tidak percaya tindakan Hamzah semata-mata untuk melihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal berkuasa.

“Dalam afidavitnya di Mahkamah, Syed Saddiq mendakwa Hamzah Zainuddin letak syarat mesti sokong Muhyiddin jika mahu pendaftaran parti MUDA diluluskan.

“Syed Saddiq buat tuduhan serius. Apakah itu cara Muhyiddin mengekalkan kuasa.

“Semoga UMNO tidak tunduk kepada sebarang tekanan. Mungkin ada individu yang takut menerima tekanan seperti itu. Takut didakwa, takut hilang jawatan,” kata Puad lagi.

Pada awal bulan ini, Syed Saddiq bersama 12 penaja Muda memfailkan permohonan untuk mencabar keputusan RoS yang menolak pendaftaran parti itu.

Mereka juga mahu memaksa RoS mendaftarkan Muda sebagai parti politik dalam masa tujuh hari dari tarikh perintah mahkamah. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. MASALAHNYA untuk golongan Muda….DAH TUA MACAM FUAD NANTI KENA TERAJANG KELUAR..itu yang RoS TOLAK…..KESIAN GOLONGAN TUA tiada tempat. tu pun susah nak faham dan diPolitikan.

Comments are closed.