Pengarah Eksekutif Advance Pact, Mohd Hidzir Khamis (dua kanan) bergambar bersama Setiausaha Politik Menteri Kesihatan, Datuk Shamsul Najmi Shamsuddin (tengah) dan kakitangan Advance Pact pada Program Bantuan Banjir Johor 2021 di Dewan Kota Jaya, Kota Tinggi, Johor. Foto SYAFIQ AMBAK, 05 FEBRUARI 2021.

KOTA TINGGI – Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Itu peribahasa yang menjadi pendorong kepada syarikat Advance Pact Sdn Bhd apabila mengambil inisiatif untuk membantu mangsa-mangsa yang terjejas akibat banjir di daerah ini baru-baru ini.

Menerusi Misi Bantuan Banjir 2021, daerah Kota Tinggi menjadi tumpuan syarikat berkenaan selepas perkara sama turut dilakukan di Pahang di mana beberapa kawasan di negeri itu turut ditenggelami air bulan lepas.

Kakitangan Advance Pact melakukan persiapan barangan bantuan pada Program Bantuan Banjir Johor 2021 di Dewan Kota Jaya, Kota Tinggi, Johor. Foto SYAFIQ AMBAK, 05 FEBRUARI 2021.

Pengarah Eksekutif Advance Pact Sdn Bhd, Mohd Hidzir Khamis berkata, sumbangan itu merupakan tanggungjawab sosial (CSR) dalam membantu mangsa-mangsa banjir yang berdepan situasi sukar selepas ditimpa bencana.

Katanya, langkah untuk menyampaikan sumbangan berkenaan telah dibincangkan dalam mesyuarat pengurusan syarikat setelah menyedari terdapat lebih 1200 mangsa di daerah ini khususnya di kawasan Bandar Tenggara yang terkesan akibat kejadian banjir itu.

Ujarnya, pihak syarikat juga telah menghantar wakil untuk mendapatkan maklum balas mengenai keperluan mendesak yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir terbabit.

“Apa yang disampaikan ini menepati sasaran objektif kita dan kita telah berbincang di pihak pengurusan.

“Kita juga telah hantar wakil untuk membuat kajian terlebih dahulu bagi mengetahui keperluan wajar kepada mangsa banjir di sini sebelum diputuskan dalam mesyuarat pengurusan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Dewan Komuniti Masyarakat di sini semalam.

Kakitangan Advance Pact menyusun barangan bantuan pada Program Bantuan Banjir Johor 2021 di Dewan Kota Jaya, Kota Tinggi, Johor. Foto SYAFIQ AMBAK, 05 FEBRUARI 2021.

Mohd Hidzir berkata, setelah mendapat maklumat pihaknya mendapati, barang seperti dapur memasak, toto dan juga kipas angin merupakan antara yang diperlukan ketika ini.

Justeru katanya, pihak syarikat memutuskan untuk menyumbang peralatan tersebut dengan menggunakan peruntukan perbelanjaan sebanyak RM30,000.

Pengarah Eksekutif Advance Pact, Mohd Hidzir Khamis (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Setiausaha Politik Menteri Kesihatan, Datuk Shamsul Najmi Shamsuddin pada Program Bantuan Banjir Johor 2021 di Dewan Kota Jaya, Kota Tinggi, Johor. Foto SYAFIQ AMBAK, 05 FEBRUARI 2021.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kesihatan, Datuk Shamsul Najmi Shamsuddin mewakili penerima-penerima sumbangan sangat berterima kasih di atas keprihatinan syarikat Advance Pact Sdn Bhd dalam membantu mangsa banjir di kawasan Parlimen, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Pengarah Eksekutif Advance Pact, Mohd Hidzir Khamis bercakap pada Program Bantuan Banjir Johor 2021 di Dewan Kota Jaya, Kota Tinggi, Johor. Foto SYAFIQ AMBAK, 05 FEBRUARI 2021.

Katanya, usaha yang dilakukan oleh Advance Pact Sdn Bhd boleh dijadikan contoh kepada syarikat-syarikat korporat lain untuk terlibat sama dalam membantu mangsa-mangsa banjir yang dalam kesukaran.

“Saya sangat memuji langkah syarikat Advance Pact Sdn Bhd ini kerana begitu menyelami keperitan yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir di sini.

“Meskipun, pejabat Ahli Parlimen di kawasan ini ada membantu mangsa-mangsa banjir terbabit namun sokongan daripada pihak luar terutamanya daripada syarikat-syarikat dan badan-badan korporat sangat dialu-alukan,” tambahnya.

Kata beliau lagi, dalam situasi negara masih berdepan pandemik Covid-19 dan sistem pengajaran dan pembelajaran kepada pelajar sekolah dibuat secara dalam talian, beliau sangat berharap selepas ini ada pihak boleh menyumbang peralatan pengajaran seperti gajet-gajet dan sebagainya.

Pegawai Khas (1) Menteri Kesihatan Menteri Kesihatan, Nasaruddin Ahmad bercakap pada Program Bantuan Banjir Johor 2021 di Dewan Kota Jaya, Kota Tinggi, Johor. Foto SYAFIQ AMBAK, 05 FEBRUARI 2021.

Sementara itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tenggara, Nasaruddin Ahmad berkata, sumbangan yang diberikan oleh syarikat Advance Pact Sdn Bhd sememangnya sangat bertepatan dengan keadaan pasca banjir di kawasan itu.

Katanya, setakat ini sudah banyak bantuan makanan yang diterima di pusat pengumpulan barang-barang mangsa bencana banjir di sini.

Jelas beliau, sumbangan yang diterima daripada syarikat Advance Pact Sdn Bhd mempunyai kelainan berbanding sumbangan makanan yang diterima dan semua itu adalah hasil daripada tinjauan yang dibuat oleh pihak syarikat berkenaan terlebih dahulu.

“Kita bukan hendak menolak sumbangan yang diberikan oleh sesiapa…Tapi kalau boleh sumbangan itu biarlah yang berbeza kerana kalau diberikan dalam bentuk barangan dapur seperti beras, minyak, tepung dan sebagainya, pusat pengumpulan ini sudah mengumpul stok yang banyak.

“Jadi, biarlah sumbangan yang hendak diberikan berlainan dan semua itu boleh dibuat sekiranya pihak yang bermurah hati melakukan tinjauan terlebih dahulu seperti yang dilakukan oleh syarikat Advance Pact ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette