Seroang wanita ditahan JHEAIK kerana berkhalwat di dengan seorang lelaki bukan Muslim di Alor Setar, Kedah semalam.

ALOR SETAR – Tolong jaga rakan demam.

Itu alasan seorang janda ketika rumahnya diserbu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) di Taman Wira Mergong di sini semalam.

Serbuan jam 11.40 malam itu mendapati seorang lelaki bukan beragama Islam berada di dalam rumah milik wanita berusia 31 tahun itu.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa JHEAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, wanita dan lelaki yang berusia 29 tahun itu juga bukan pasangan suami-isteri.

“Soal siasat terhadap pasangan itu, mereka gagal menunjukkan sebarang bukti mempunyai hubungan suami isteri mahupun mahram.

“Selain itu, kanak-kanak perempuan berusia lima tahun turut ditemui di dalam rumah berkenaan dipercayai anak wanita terbabit,” katanya ketika dihubungi  hari ini.

Menurut Syeikh Radzi, wanita yang berniaga secara online itu ditahan kerana disyaki berkhalwat manakala lelaki itu hanya diambil keterangan.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014. – MalaysiaGazette