Kelihatan pekerja premis makanan sedang mencuci cermin untuk menutup kedai selepas Majlis Perbandaran Tawau mengeluarkan notis perubahan dan menghadkan masa operasi kedai makan serta restoran bermula 6 pagi hingga 6 petang berkuatkuasa pada 21 September bagi membendung penularan pandemik Covid-19 di Sekitar Bandar Tawau, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 21 SEPTEMBER 2020.

ADA beberapa peristiwa menganggu kamar waktu ini. Seperti barang yang dipesan lain,
barang yang sampai lain. Rakyat sebagai pelanggan yang memberi amanah kepada kerajaan sebagai pembekal kesejahteraan, keamanan, ke’afiatan menerima pulangan yang nampaknya ganjil sekali. Hubungan itu harusnya berlangsung dalam situasi menang-menang. Pemimpin diberikan amanah kuasa, mendapat akses merangka dasar dan polisi, mempunyai kawalan kepada sumber, menguasai punca kuasa dan segala kelebihan yang dijamin oleh negara demokratik. Rakyat pula sebagai kumpulan penerima terakhir yang harusnya merasai buah daripada kepengurusan segala khazanah negara yang diamanah kepada pemimpin.

Mereka jugalah dengan suara kolektif yang merupakan pemberi mandat kepada atasan untuk mendapat wewenang mengelolakan kuasa kecil mereka yang terhimpun.
Keganjilan ini dapat dirujuk sebagai beberapa contoh dalam rencana ini. Bila PKP 2.0
disambung lagi setelah ditimbang tara seadilnya oleh pemerintah, bertimpa-timpa rakyat yang terkesan. PKP 1.0 terdahulu mereka tertampar, tetapi masih mampu bertahan. Rizab
simpanan masih ada, KWSP bulanan RM 500, bantuan BPN, GKP. Kini tidak lagi. PKP 2.0
tamparannya berganda, cuma persediaannya telah longgar. Pergerakan terhad, pintu rezeki terhambat. Makan minum perlu. Perkakas pendidikan anak-anak, pakai, kenderaan, beban hutang tidak pula terhad. Namun, ironinya, suara dhamir rakyat itu disambut pula oleh beberapa keputusan lain.

Barisan penerima gelar didengungkan. Itu bukan hak rakyat untuk menghalang. Terimalah jika layak dan setimpal dengan kerja yang tertanggung di jemala. Soalnya, hari ini orang bicara tentang kebijakan pemerintah mengadun rencah menangani kelaparan rakyat. Di musim covid menggila ini, tutuplah segala pintu yang menjuntaikan kemewahan atau pentahniahan gelar-gelar sosial yang tidak memberi faedah kepada perut rakyat. Namun, yang dipesan lain juga tiba. Seramai 111 menerima gelaran Datuk sempena Hari Wilayah Persekutuan pada tahun ini berbanding hanya 28 sahaja mendapat gelaran itu pada tahun lepas. Bukan isu itu yang mahu digaristerangi. Tetapi tentang sikap buta nada  terhadap isu utama yang diharapkan oleh rakyat ketika ini.

Mereka bicara tentang apa yang mahu dimakan hari ini. Mereka meratap keputusan pencarian, keciciran pendidikan anak-anak kerana tidak memiliki perkakas, kenaikan harga minyak, tapi jawabnya hampa. Walaupun kita tahu soal gelar sederet panjang sekalipun, belumlah menentu jasa dan bekas kerja kita memberi saham kepada misi "pengutuhan dan pembinaan insan". Jika ada, maka dengan gelar itu layaklah kita mendapat penghormatan berganda. Terhimbau nama di tengah terang, disambut perhatian, didendangkan oleh khalayak, ditinggikan dalam majlis, diganjilkan di dalam ramai. Sejalan dengan bekas kerja dan perbuatan, memberi tauladan kepada angkatan kemudian.

Jika tidak datang dengan jasa, jadilah gelar itu perhiasan yang memperberatkan dirinya lebih daripada amanah yang dipikul. Sehingga dalam beberapa perkara, dia melebihkan soal 'memelihara' gelar itu daripada kerja yang sepatut-patutnya ia lunasi. Tidak mahu turun 'mencemar duli', ke bawah merakyat memberi khidmat. Hanya yang diringankannya pada menghadiri majlis para bangsawan, berulang alik menghadap muka di pentas kenamaan.

Tidak sedikit yang merasa begitu. Kerana dengan gelar berbilang, ia telah merasa prestij
sosialnya meningkat beberapa hasta daripada madh'u-nya, tempat seharusnya perhatian, kudrat kuasanya disasarkan. Cumanya, dalam waktu rakyat memikat KWSP, mereka dibalas pingat untuk Pak Menteri. Kerajaan pasti tahu rata-rata kegiatan ekonomi seperti 'bernafas dalam lumpur'. Soal orang putus makan tak daya dihitung. Berbulan rekod covid-19 masih 4 angka. Beberapa kali capai angka hampir 6000 (Rekod tertinggi 5728). Kepada rakyatkah patut dicampakkan beban kesengsaraan ini? Mereka banyak berkorban, kembali berkurung dengan paksa rela.

Pendapatan putus, belanja dicatu. Kerja hilang. Bilangan yang pendapatan terjamin, kos tak perlu keluar kerana BDR, mendapat lebih simpanan. Kesenjangan sosial, ketegangan emosi pasti berlaku. Ketegangan berkenaan dizahirkan dalam beberapa kes. Imej negara telah herot di tangan negara jiran. Baru-baru ini membanjir tidak putus-putus tetamu Malaysia di beranda Presiden Republik Indonesia, Bapak Jokowi. Mereka datang bukan membawa buah-buah yang layaknya diiringi waktu berziarah di rumah saudara, tetapi menggantikannya dengan serangan bertalu-talu wargamaya. Bukan kepada Pak Joko, tetapi kepada ketua eksekutif negara sendiri – Perdana Menteri.

Imej negara telah koyak di negara jiran. Kita tidak kuasa menahan suara rakyat dilepaskan didinding rumah jiran walaupun sebilangan ahli politik kerajaan cuba mengusulkan agar digubal undang-undang menghukum rakyat yang mengaibkan pemimpin. Kita boleh mengadili, melabelkan betapa liar atau tidak bertamaddun
atau segala kata nista balasan yang lain, tetapi, dapatkah tangan yang tertahan di tanah air sendiri dapat dihalang daripada menghujat pemimpin sendiri di rumah orang? Ada yang tidak beres. Mungkin soal tercabutnya mandat, berkuasa tanpa majoriti jadikan kesabaran rakyat yang terkurung lagi mendarurat terusik?

Kita membincangkan panjang lebar bagaimana fragmen etnik dan bangsa di Malaysia
bergerak ke arah suatu matlamat bangsa idaman (nation of intent) yang bersifat kesatuan
dalam kepelbagaian (a union in diversity). Kewujudan semula Kementerian Perpaduan
Negara oleh kerajaan Perikatan Nasional adalah langkah proaktif selepas kali terakhir pada tahun 1974 kementerian yang sama dibubarkan hanya selepas satu penggal beroperasi pasca peristiwa 13 Mei 1969. Sedangkan isu perpaduan adalah perkara pokok melibatkan kestabilan negara dan keselamatan nasional yang sepatutnya lebih diberikan perhatian.

Namun, apakah dengan aksesori sahaja akan menciptakan kekemasan fabrik sosial tanah air?
Permainan racial card semakin nyaring. Tempikan kerajaan Melayu-Islam dijadikan modal
lawan menyerang keherotan sikap pemerintah. ‘Takpelah, asalkan kerajaan Melayu-Islam
yang memerintah, Pub dibenarkan buka, air jahat dibenar jual ikat tepi, Judi naik 22 kali
cabutan…’. Banyak lagi, tetapi cukuplah mencarik banyak sensitiviti. Penulis sendiri tiada
sanggup meluahkan. Tetapi, netizen tidak. Emosi mereka tercabar. Ujian itu silih berganti.
Tetapi, ujian yang datang oleh kecuaian patutkah diperdiamkan? Kemencanakan laporan
Covid-19 saban hari didorong oleh ketamakan kuasa. Tahun lepas, ketika Covid-19 semakin reda, bermula tangan-tangan ghaib yang membeli ahli politik untuk kemudian meruntuhkan kerajaan yang sah.

PRN berlangsung, kuasa dan kerusi dapat, tapi keamanan nyawa rakyat sampai hari ini terancam. Sebelumnya, kerajaan tebuk atap (istilah yang dimasyhurkan oleh Duta Khas) berhasil mempelawa sekali covid-19 menebuk dada rakyat ketika mereka menebuk pintu kuasa. Permainan kaum meleret sampai kepada sukan dan kebajikan. Dato’ Lee Chong Wei baru-baru ini memberikan sumbangan peribadi dalam satu program anjuran Ahli Parlimen Bukit Mertajam, YB Steven Sim. Seorang wakil rakyat yang penuh aspirasi dirinya sebagai anak Malaysia. Beliau seorang yang punyai minat mendalam terhadap persekitaran Melayu, bukan sahaja sosioekonominya, tetapi susasteranya.

Kita tahu seorang yang menyelami alam kesusasteraan kaum lain, dia menemukan hulu mata air yang menerbitkan kolam fikiran kaum berkenaan. Bukan kecil perhatian. Cuma, dia berbeza dengan parti pemerintah. Perbezaannya bukan pula kecil. Semacam langit dan bumi. Bertumpang teduh di dada tanah air yang sama, tetapi dalam hati masing-masing bagai mengasah-ngasah tombak untuk menikam yang lain. Ianya menjalar juga kepada pengikut-pengikut yang senteng.

Datuk Lee Chong Wei yang bermurah hati memberikan sumbangan laptop telah dikecam,
hanya kerana dia menyumbang kepada Ahli Parlimen DAP! Sangatlah bebal sekalian yang
mengecam. Itu wang beliau. Bukan harta Ismet Ulam Raja atau harta datuk nenek kita. Dia berhak. Jangankan sampai dikecam, seorang yang luas ufuk fikirannya hanya oleh kebencian. Memang soal kebencianlah yang paling banyak menyalakan api sekam. Demokrasi menjamin kebebasan dan kecenderungan dengan siapa kita mahu bertalian, tetapi kebodohan pulalah yang telah memenjarakan.

Dengan interaksi semakin terhad, racial card dinyala-nyalakan. Manakala, anak-anak
pewaris bangsa yang kita harapkan dapat bersosial antara etnis dengan aman dan tenteram di sekolah-sekolah kerajaan, telah terkunci pintunya. Mereka tiada pilihan selain berdiam di kamar masing-masing, memencil, berusaha dengan diri bersendiri dalam peperiksaan. Jika sekirannya ada lebih banyak ruang sosial untuk bersemuka, kita dapat sahaja meminimumkan curiga. Ditambah api kemarahan dan mainan perkauman yang makin dipadam oleh orang yang tidak gemar menyalahkan warna kulit, makin ditiup oleh golongan yang lemah.

Satu-satunya pertahanan terakhir mereka setelah wibawa tidak dimiliki adalah sentimen agama dan perkauman! Isu kemiskinan, penindasan, kesenjangan sosial, kecurigaan etnik tetap malar, sedangkan sentimen kepartian datang dan pergi. Politik identiti sering mencederakan kerukunan arus besar lalu lintas perhubungan kaum. Secara minor, rakyat berinteraksi, berhubung, bersosial secara sihat. Tanpa ketegangan. Namun, apakah ukuran fabrik sosial di tarik daripada satu plat interaksi? Tidak jawapannya. Arus perdana yang melukiskan.

Hotel-hotel dilaporkan ratusan yang menutup perniagaan. Setengahnya mengubahkan
orientasi perniagaan kepada jualan makanan bajet. Perniagaan kecil seperti berkedai makan tidak terhitung yang bungkus bersama bungkusan tapau yang dipesan pelanggan hari-hari. PdPR pula telah menyembulkan kelas sosial bawahan yang menghadapi musim kelat dan sugul. Tiada tablet untuk dibekali kepada anak-anak mengintip ilmu di muka yang berkaca. Muncul peribadi seperti Ustaz Ebit Liew dan Uncle Kentang yang bukan daripada kaum pemain isu perkauman sebenarnya tamparan hebat. Sikap baik, tidak berwarna di kulit, tidak bermata memilih siapa. Ia boleh tumbuh kepada mana-mana peribadi sekalipun.

Keperitan menghadapi pergerakan diperintahkan terhad oleh kes mencanak-canak sebenarnya tidak didengungkan sepenuhnya. Tidak ramai berani menyaringkan suara. Igauan budaya ketakutan (culture of fear) yang ditanamkan berabad lama dilalui dahulu masih bernanah lagi. Jangan bersuara, siapa berani mengkritik penguasa akan dikenakan hukuman. Penjawat awam dahulu jika bersuara akan melalui pengalaman ditahan pangkat, disekat atau dipindahkan ke pedalaman yang jauh. Mereka yang bekerja sendiri jika lantang bersuara akan dikecam, diburu oleh undang-undang yang mengancam. Entah tertutup pintu pencarian mereka bila suara nurani diteriakkan. Takut dan takut. Biarpun kesumbangan dipentaskan, diam adalah lebih baik pada mereka. Redha dan tawakal sahaja.

Siapalah yang berani mengangkat muka. Melihat sugulnya wajah tanggungan, langkah yang mahu dibuka kembali terkunci semula. Semua termasuk membungkam lagi fikiran yang sedia buntu. Apa lagi patut dibuat? Bersuara tidak berani, diamlah berteman sayu mengenang esok hari. Allah menjamin rezeki. Itu mereka imani. Tetapi, ikhtiar harus datang bersekali. Mungkin dengan jalan berbising-bising dalam ruang personal autonomy ini suara mereka dapat juga didengari. Bukankah juga sebagai ikhtiar, supaya penguasa beringat. Kemalangan yang datang oleh kecurangan, memberi bekas kepada perut rakyat.

Warga yang konstruktif perlu jadi 'kerajaan diri' yang mengukur, menyemak dan mengimbang tindakan pihak pemegang amanah. Tanpa suara-suara rakyat marhaen
melantunkan rasa hati mereka, apakah realiti sebenar dapat ditangkap? Zaman kerajaan tahu semua perkara telah berkubur. Bersuaralah sahaja. Ia dijamin dalam ruang demokrasi. Kebebasan bersuara yang diikat oleh nilai agama, Timur, santun dan
beradab tidaklah suatu yang mencarik adat. Jangan takut. Percaya diri, dengan ukuran
pandangan sendiri. Rakyat bukan partisan. Mereka cuma simpatisan, kepada nasib jutaan
yang mengerang sakit, tanpa suara tanpa bahasa.

Berkata benar dengan santun, beradab walaupun pahit dan menyakitkan adalah sebuah
penghormatan dan kemuliaan. Jauh lebih terhormat daripada hanya main selamat,
memikirkan keselamatan kerusi dan tempat atau melepaskan diri daripada mengambil
tanggungjawab. Zaman budaya rakyat ditakut-takutkan telah berkubur. Jika ada lagipun, kita rehatkan ia bersama. Zaman mulut kaum sarjana di-gam telah padam. Merekalah yang sepatut-patutnya tampil berkata benar. Kalau masih dibayangi soal kebimbangan periuk nasi, nyatalah kemerdekaan masih belum seluasnya kita nikmati.

Kita ada dua pilihan, membenarkan dan mengabsahkan sahaja kelakuan kerajaan atau berani dengan jujur mengatakan salah tindakan mereka dan membetuli. Di sisi rakyat, ada kepelbagaian pusat kuasa (multiple centres of power) untuk memberi sembang imbang, sokongan dan tekanan kepada kuasa pertama dan kedua. Denda SOP mahu dinaikkan kepada rakyat, sedangkan Menteri Fasola berleluasa mengingkarinya. Kuarantin rakyat 10 hari, kuarantin Menteri 3 hari, parlimen digantung, gaji lantikan politik berjalan, kerja tiada. Wajar?

Terancamnya keselamatan nyawa rakyat itu juga pun datang daripada para ahli politik yang menebuk kuasa. Walhasil, kerusi dapat, hidup mereka kaya raya tetapi rakyat juga yang menanggung sengsara. Rakyat bangkitlah bersuara melalui pusat-pusat kekuasaan yang ada. Dibenarkan oleh demokrasi, dijamin sebagai hak asasi manusia berdaulat. Advokasi media di ruang personal autonomy, NGO, NGI, Forum Massa. tulisan, kempen. Lawan pemerintah curang, bela orang kecil yang ditimpa kemalangan berganda-ganda.

Bergilir-gilir tukar kerajaan bagi kesan besar terencatnya pelaksanaan agenda rakyat yang dijuang-juangkan. Kos pengurusan yang remeh temeh naik bertingkat-tingkat. Pertambahan "menu cost", nak tukar gambar, tukar nama, semakan semula kontrak tender, jenama kerajaan sebelumnya takkan nak dibiarkan leluasa lagi?
Kerajaan baru yang naik mesti cipta trademark sendiri. Untuk menimbus jenama lama, wang awam juga diguna. Kos-kos ini nampak kecil, tapi renyah dan melewahkan. Pusat perhatian untuk ditumpahkan pada mengisi, memakmur, menjayakan ekonomi tersasar seketika.

Selesai itu untuk beberapa waktu diingatkan bolehlah kembali tenteram. Rupanya yang kalah tak tinggal terus mengendap-ngendap juga lagi. Diintai-intai tak nampak, ikut pintu depan tertutup, pintu belakang atau ikut atap pun jadi. Kitaran ini akan berlarutan untuk beberapa tempoh. Sebab sudah dibudayakan. Ditanam, disubur, sudah berdahan lebat dan berbuah. Apa cara hendak diselesaikan? Akarnya patut diracun mati. Siapa yang terlibat jadi dalang mengendap, merembat kerusi di tengah marathon politik yang "morally right, legally wrong" patut dihukum.

Budiman (gentleman) berentap di tengah terang, di tengah siang, di tengah benderang di
muka depan. Bukan main skodeng di dalam gelap. Kalah bermaruah, menang memikul
amanah dengan insaf, bukan nama dan megah. Sama berbantuan, berjuang capai
kesejahteraan. Kemalapan neon demokrasi ditandai oleh disfungsi parlimen, pemusatan kuasa keterlaluan kepada seorang doktor (doctor knows best), ekonomi hambar, pengangguran meningkat dengan angka seorang daripada tiga orang ketua keluarga dewasa hilang mata pencarian menurut laporan UNICEF. Ia disambug pula oleh kebutaan nada melampau- lampau, apabila menteri yang sepatutnya menjaga kebajikan, karam oleh peragaan fesyen.

Pejabat Menteri sudah direbut isinya sebagai studio shooting, bukan lagi kertas-kertas
perekod derita rakyat. Buta! Memikirkan kerancuan sosiopolitik dan sosioekonomi negara dengan caca marbanya permainan kaum, rasuah, sepatutnya tidak melengahkan lagi usaha kita untuk mencari titik baru pelukisan nasion. Mungkin patut di renung ajuan yang dikemukakan oleh Dato’ Seri Nizar Razak dalam satu forum anjuran Institut ANU Malaysia dan Institut UM Asia-Eropah baru-baru ini tentang keperluan menetapkan semula sistem sosial negara. Saya berpendapat bahawa Malaysia memerlukan satu tetapan semula sistem “system reset” atau Penentukuran Semula Negara “Nationhood Recalibration”.
Saya tidak fikir kita boleh mengendalikan perpaduan sosial dengan sendirinya,
kerana ia terlalu berkait dengan politik dan ekonomi kita.

Malah, idea pembaharuan yang paling mudah pun begitu pantas diperkaumkan
dan ada kalanya diterjemahkan dalam istilah agama dan ekonomi. Ini kemudiannya menjadi satu cabaran politik, dan sudah terlalu lama semenjak mana-mana pemimpin mempunyai modal politik yang cukup untuk membuat gerakan substantif dalam perkara-perkara sensitif. Oleh itu, daripada menumpukan perhatian kepada undang-undang keharmonian dan sepertinya, saya berpendapat kita perlu kembali ke meja rundingan untuk mendebat serta merunding dan menetapkan semula cara demokrasi berfungsi – bagaimana kita memilih pemimpin kita dan bagaimana institusi-institusi kita berfungsi – dan kontrak sosial yang membentuk sikap kita terhadap kebanyakan perkara.
Bersediakah Malaysia memulakannya?

 

Muhamad Hanapi Jamaludin
[email protected]