Anuar Ahmad

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sewajarkan memperkenalkan sistem penggiliran bagi murid-murid sekolah rendah dalam usaha mengawal risiko penularan Covid-19.

Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Anuar Ahmad berkata, pembukaan sekolah mulai bulan depan memang diharapkan selepas lebih 100 hari pelajar-pelajar tidak bersekolah.

Ini kerana cuti yang paling panjang menyebabkan ramai murid terutama Tahun 1, 2 dan 3 ketinggalan apabila komponen 3M (membaca, menulis dan mengira) tidak dapat dijalankan.

Tetapi katanya, ada beberapa perkara di sebalik keputusan KPM itu kerana pada 8 Mac nanti seluruh sekolah rendah akan beroperasi dengan kapasiti penuh.

“Ini menimbulkan banyak persoalan khususnya ibu bapa. Mengapa kita kumpulkan seluruh pelajar sedangkan kita tahu sekolah kita bersaiz besar dalam satu sekolah.

“Bagaimana kita hendak kawal pelajar dengan SOP, pergerakan sekolah apabila sekolah berkapasiti penuh di dalam kompaun sekolah.

“Semua ini menimbulkan kerisauan semula ibu bapa walaupun dalam hati kita seronok sebab sekolah dibuka semula.

“Tetapi bagaimana anak-anak di Tahun 1, 2 dan 3 dapat mematuhi SOP (prosedur operasi standard) kalau sekolah dalam kapasiti padat,” katanya.

Persoalan itu timbul jika sesebuah sekolah mempunyai 600 orang atau lebih, kelas itu mempunyai 35 hingga 40 orang pelajar.

Anuar berkata, meskipun keputusan telah dibuat oleh KPM, tetapi sepatutnya sistem persekolahan dibuat secara penggiliran walaupun mungkin wujud masalah logistik.

Namun, apa yang lebih utama, sistem penggiliran ini boleh mengekang anak-anak sekolah berdepan dengan penularan Covid-19.

Kalau sekolah dibuat sistem penggiliran, dalam seminggu mungkin tiga hari murid-murid Tahun 1 hingga 3 ke sekolah.

Dua hari berikutnya pula Tahun 4 hingga 6.

Ada juga negara lain melakukan sistem penggiliran selang seminggu bagi memudahkan ibu bapa.

Anuar berkata, sistem penggiliran ini dapat mengurangkan kapasiti sekolah 50% daripada jumlah sebenar.

Ini membolehkan sekolah-sekolah memecahkan bilangan satu kelas kepada dua kelas, sekali gus memenuhi perkara utama dalam SOP iaitu mematuhi penjarakan sosial.

Sistem penggiliran ini juga memudahkan penyuraian pada waktu masuk dan balik sekolah.

Kaedah ini juga dapat menangani isu ibu bapa berkumpul ketika mengambil anak-anak ke sekolah.

“Selain itu, dengan sistem ini jumlah anak-anak yang menaiki bas atau van sekolah berkurangan dan ini akan meningkatkan keberkesanan SOP.

“Ini satu aspek yang perlu dititikberatkan. Tidak guna kita terlalu beriya-iya jaga SOP di kawasan sekolah tetapi apabila balik tiada SOP di dalam kenderaan,” ujarnya.

Jadi, Anuar berkata, sistem penggiliran ini akan memastikan SOP dipatuhi dari minit awal ke sekolah hingga sampai ke rumah.

Beliau juga berkata, dengan pelaksanaan sistem penggiliran ini, jika berlaku penularan Covid-19 di sekolah akan memudahkan pihak sekolah mengambil tindakan.

“Kalau berlaku kes di sekolah, sekolah akan ditutup sebab itu amalan yang perlu dilakukan dan murid-murid tidak boleh bersekolah.

“Tetapi kalau kita melakukan sistem penggiliran, kumpulan pelajar yang terlibat dengan kes Covid-19 itu, ia akan hanya melibatkan pelajar yang datang pada hari-hari tertentu sahaja, manakala pelajar lain tidak terkesan.

“Dengan ini, apabila sekolah selesai melakukan sanitasi dan sebagainya, pelajar yang tidak terlibat dalam kes boleh hadir seperti biasa kerana bukan keseluruhan pelajar terlibat, sekali gus mengurangkan jumlah pelajar yang perlu dikuarantin,” ujarnya.

Menurutnya, dengan mengurangkan pelajar dalam satu kelas dalam sistem penggiliran, guru juga ada peluang untuk memantau SOP dengan lebih berkesan.

Secara tidak langsung, sistem penggiliran ini adalah satu inisiatif yang mengambil kira kesihatan dan keselamatan pelajar dan guru.

“Jadi apa salahnya kita membuka sekolah secara bergilir-gilir dahulu, lihat bagaimana sekolah dapat mengawal guru-guru dan murid-murid dengan baik.

“Selepas itu baharulah kita mengurangkan tempoh sistem penggiliran dan menambah baik proses SOP yang ada,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Saya setuju dengan Dr.Annuar memang itu yang sebaiknya untuk memastikan anak-anak tak ketinggalan dalam pelajaran dan dalam masa yang sama penularan covid 19 dalam dikawal dengan efektif. Tapi malangnya menteri-menteri yang ada semuanya ada otak tapi tak berakal, keputusan sentiasa berubah.

Comments are closed.