Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR – Dua ahli Parlimen pembangkang berpandangan kewujudan kerajaan ‘Melayu-Islam’ yang didirikan Perikatan Nasional (PN) gagal berfungsi.

Menurut Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak ada agenda dan tidak ada pencapaian yang boleh dibanggakan.

“Pemerintahan kerajaan ‘Melayu-Islam’ ini menyaksikan jumlah pengangguran rakyat terus meningkat kepada 772,900 orang pada kadar 4.8 peratus pada Disember 2020 dan tidak ada rancangan pemulihan ekonomi yang berjaya dibuat sehingga hari ini.

“Pemerintahan kerajaan ‘Melayu-Islam’ juga telah mengabaikan janji pemberian komputer riba kepada 150,000 murid berjumlah RM150 juta seperti yang dihebahkan semasa pembentangan Belanjawan 2021 sehingga hari ini.

“Kegagalan menunaikan janji ini telah memaksa ibu-bapa daripada golongan B40 terpaksa mencari alternatif lain untuk mendapatkan peranti bagi keperluan pembelajaran anak-anak mereka termasuk mendapatkannya daripada ahli-ahli Parlimen pembangkang,” kata kedua-dua mereka dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Saddiq dan Mohd Shafie juga mendakwa penubuhan kerajaan tanpa DAP juga telah dilihat sebagai agenda menipu rakyat.

“Kini genap setahun peristiwa Langkah Sheraton yang menyaksikan Kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) telah dijatuhkan melalui pintu belakang dengan menggunakan alasan paling tidak munasabah – mahu mewujudkan sebuah pemerintahan yang didominasi oleh ‘Melayu-Islam’ pimpinan parti Bersatu, UMNO dan Pas yang dijenamakan sebagai PN.

“Rakyat dimomokkan dengan kisah dongeng bagaimana sebuah Kerajaan ‘Melayu-Islam’ tanpa DAP perlu segera dibentuk demi kebaikan rakyat terutama sekali kepada orang Melayu dan umat Islam khususnya,” kata mereka.

Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Syed Saddiq yang merupakan pengasas Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia) menegaskan, kerajaan yang ditubuhkan daripada tiga parti iaitu Pas, UMNO dan Bersatu juga gagal untuk menarik lebih ramai pelabur ke negara ini.

Kegagalan itu dilihat kerana PN lebih sibuk mencatur kesetiaan dalam kalangan ahli-ahli Parlimen.

“Kestabilan tersebut seharusnya diterjemahkan dalam bentuk hasil pelaburan dan kegiatan ekonomi yang memberi keuntungan kepada rakyat. Malangnya ia tidak berlaku sehingga hari ini.

“Sebaliknya, Kerajaan ‘Melayu-Islam’ ini terlalu sibuk menyoal kesetiaan yang diikrarkan, sentiasa menyuarakan rasa sangsi dan tidak lagi mempercayai antara satu sama lain.

“Selepas beberapa siri pertukaran kepimpinan kerajaan negeri melalui undi di dalam Dewan Negeri, lompat parti dan pilihanraya negeri dalam tempoh PKP, ikatan ketiga-tiga parti tersebut hanya menunggu masa sahaja untuk terlerai. Kerajaan yang dibina atas nama pengkhianatan akan runtuh melalui pengkhianatan juga,” menurut mereka lagi.

Pakatan Harapan (PH) pada tarikh sama tahun lalu kehilangan majoriti untuk membentuk kerajaan persekutuan susulan keputusan Bersatu dan 11 ahli Parlimen PKR keluar daripada gagasan berkenaan.

PH yang sebelum ini membentuk kerajaan dengan 139 kerusi menerusi komposisi empat parti komponen dengan sokongan Parti Warisan Sabah serta UPKO dalam pilihan raya umum ke-14 pada Mei 2018 hanya tinggal 102 kerusi. – MalaysiaGazette