Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid (berbaju hitam) bersama Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam meletakkan sebiji durian untuk memeriksa timbangan sempena Ops Duri 2.0 di lokasi penjualan durian di Petaling Jaya petang semalam.

KUALA LUMPUR – Ops Duri 2.0 yang dijalankan dari 22 Februari sehingga 24 Februari 2021 telah memeriksa 311 buah premis jualan durian.

Daripada jumlah itu, sebanyak 14 kes kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) dan Akta Timbang Sukat 1972 (ATS 1972) dikesan.

Ia termasuk sembilan kes di bawah AKHAP 2011 dan lima kes di bawah ATS 1972 dan nilai kompaun sejumlah RM2,600.00.

Untuk rekod, pencapaian Ops Duri 1.0 telah melaksanakan sejumlah 1,252 pemeriksaan dan telah menghasilkan 38 kes dengan jumlah nilai kompaun sebanyak RM13,900.00.

k Rosol Wahid (berbaju hitam) dan bersama Penguatkuasa KPDNHEP sedang membuat lawatan sempena Ops Duri 2.0 di lokasi penjualan durian di Petaling Jaya petang semalam.

Timbalan Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, tujuan pemeriksaan dilakukan untuk memeriksa pematuhan peniaga-peniaga buah durian berdasarkan elemen-elemen yang telah ditentukan dalam OPS duri 2.0.

“Antara elemennya, meletakkan tanda harga dengan jelas, mempamerkan jenis durian, menggunakan alat timbang yang sesuai, memastikan alat timbang masih dalam tempoh tentusah, mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) Perdagangan Pengedaran seperti yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Rosol, Ops Duri 2.0 yang telah berkuatkuasa bermula 22 Februari lalu sehingga 22 Mac ini dijalankan oleh KPDNHEP Negeri dan cawangan.

Ops Duri 2.0 ini diperkasakan atas dasar melindungi pengguna dan meningkatkan etika peniaga yang turut melibatkan tindakan pemeriksaan ke atas semua peniaga buah durian dari aspek pematuhan tanda harga serta alat timbang dan sukat yang digunakan untuk perdagangan di samping pematuhan terhadap SOP Perdagangan Pengedaran dan SOP Am MKN.

“Peniaga durian di bawah pelaksanaan OPS duri 2.0 tertakluk di bawah peruntukan AKHAP 2011 dan Akta Timbang Sukat 1972 ATS 1972, namun sekiranya peniaga melakukan kesalahan, tindakan undang-undang boleh dikenakan,” ujarnya.

Rosol berkata, untuk kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020, amaun denda yang boleh dikenakan bagi perseorangan ialah RM50,000, manakala bagi syarikat atau perbadanan pula adalah sejumlah RM100,00.

Bagi kesalahan menggunakan atau memiliki timbang, sukat atau alat timbang yang tidak ditentusahkan, amaun denda yang boleh dikenakan bagi perseorangan atau syarikat ialah RM40,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette