Rakan penjenayah dadah bernama Bob Mah Sing sedang diburu polis selepas meloloskan diri dari insiden ganas selepas tayar keretanya ditembak polis dari Gombak hingga ke Sierramas Sungai Buloh tengahari ini.

PETALING JAYA – Suspek yang terlibat dalam insiden Proton Waja merempuh dua kenderaan di persimpangan lampu isyarat Sierramas, Sungai Buloh berjaya ditangkap tidak sampai 24 jam selepas kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, penjenayah berusia 40 tahun yang dikenali sebagai Bob Mah Sing dicekup di sebuah rumah di Shah Alam dalam operasi yang dilancarkan pihaknya selepas insiden kejar mengejar semalam.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati suspek seorang penganggur dan mempunyai 20 rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

“Suspek yang dikenali sebagai Bob Mah Sing yang diburu pihak polis semalam selepas melarikan diri ditahan pada jam lebih kurang 11.45 malam di Shah Alam,” kata beliu dalam satu kenyataan pagi ini.

Tambah beliau, kedua-dua suspek yang terbabit dalam kejadian itu dihadapkan ke Mahkamah Petaling Jaya untuk proses reman pagi ini.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 307, 427 dan 188 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958.

“Kita akan memperhebatkan siasatan kes ini untuk proses pendakwaan kelak, ” ujar beliu.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan video berdurasi seminit 45 saat yang menunjukkan insiden itu tular dalam media sosial.

Dalam kejadian sekitar 12.45 tengahari semalam, dua anggota polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar kenderaan dinaiki kedua-dua penjenayah itu selepas mereka enggan memberi kerjasama memberhentikan kereta untuk diperiksa polis.

Kenderaan bernombor pendaftaran MAS 175 itu milik suspek melanggar bahagian belakang lori dan sisi kereta sebuah kereta Perodua Myvi sebelum meloloskan diri di di bulatan Sierramas.

Namun selepas dikejar polis, akhirnya polis menjumpai kereta waja berkenaan ditinggalkan di tepi jalan sebelum suspek pertama berusia 35 tahun dicekup di kawasan perumahan di Desa Aman selepas lari ke dalam semak berhampiran. – MalaysiaGazette