Orang ramai yang hadir untuk menunaikan solat Jumaat selepas masjid dibuka semula susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 05 FEBRUARI 2021.

KITA kini sudah berada di pertengahan bulan Rejab. Bulan Ramadan akan bermula tidak lama lagi. Bagi umat Islam, Ramadan adalah bulan yang ditunggu-tunggu dan ianya bulan pesta beribadat.

Ramadan pada tahun 2020 amat menyedihkan kerana kita tidak boleh bersolat terawih di masjid dan tiada pasar Ramadhan. Kedatangan vaksin ke negara kita beberapa hari lepas memberi sinar harapan kepada kita. Mungkin masjid akan dibuka untuk solat terawih, tetapi masih mengikut SOP ditetapkan.

Bagaimanakah jangkitan ini boleh tersebar?

Apakah persediaan yang perlu dilakukan oleh pihak masjid dan juga jemaah menjelang bulan Ramadan? Sudah bersediakah kita untuk mengimarahkan masjid? Bagaimanakah jangkitan ini boleh tersebar?

Secara umumnya, kita ketahui bahawa virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan COVID-19 tersebar melalui titisan pernafasan semasa seseorang yang dijangkiti bercakap, bersin dan batuk. Titisan pernafasan yang mengandungi virus mencemari udara dan juga jatuh di atas permukaan.

Individu yang menyedut udara tercemar atau menyentuh permukaan tercemar berisiko mendapat jangkitan. Menurut laporan Centre of Disease Control (CDC), virus SARS-CoV-2 juga boleh disebarkan melalui udara atau aerosol di dalam keadaan-keadaan tertentu seperti: tempat yang bertutup, kontak yang berpanjangan dan ventilasi yang tidak cukup. Keadaan-keadaan ini boleh menyebabkan kepekatan jumlah virus yang tinggi di dalam udara dan memudahkan penyebaran virus.

Kenapa tempat tertutup lebih berisiko untuk penyebaran jangkitan berbanding tempat yang terbuka?

Penyebaran lebih mudah berlaku di dalam bangunan yang bersifat tertutup seperti di masjid, pejabat, dan kilang-kilang berbanding di luar bangunan. Kadar penyebaran penyakit di kawasan terbuka seperti di taman rekreasi, padang dan pantai adalah lebih rendah.

Sekiranya bangunan tersebut dalam keadaan bertutup dan menggunakan penghawa dingin, penyebaran virus dalam keadaan ini adalah lebih tinggi berbanding bangunan yang terbuka serta menggunakan sumber pengudaraan semula jadi dengan membuka pintu dan tingkap. Tempat tertutup dan berhawa dingin menghalang udara segar dari luar masuk ke dalam.

Oleh itu, individu yang berada di dalam kawasan yang sama menghidu dan menghembus udara yang sama dengan individu lain. Udara disedut oleh penghawa dingin dan dikitar semula untuk digunakan. Kipas pada penghawa dingin menyebabkan udara tercemar berupaya untuk bergerak lebih dari 1 meter. Walaupun pendingin hawa mempunyai
penapis menapis habuk, saiz virus yang kecil boleh melepasi penapis.

Virus influenza dan SARS telah dibuktikan boleh tersebar melalui sistem penghawa dingin. Ini berbeza dengan tempat terbuka ataupun bangunan yang membuka pintu dan tingkap. Udara bebas bergerak dari dalam ke luar dan sebaliknya.

Pertukaran udara yang berterusan serta angin menyebabkan virus atau titisan pernafasan
yang tercemar berterbangan ke pelbagai arah dan sukar menjangkitkan individu lain. Ini adalah kerana kepekatan jumlah virus adalah rendah dalam udara disebabkan kitaran semula udara segar ini.

 Apakah cadangan untuk masjid bagi mencegah penularan?

Pastikan masjid mempunyai sistem pengudaraan yang mencukupi. Pada waktu siang terutamanya, buka pintu dan tingkap seluas-luasnya. Ini bukan sahaja untuk pengudaraan yang baik, malah sinaran matahari yang masuk ke dalam bangunan juga mampu membunuh kuman.

Penggunaan kipas boleh membantu mendapatkan ventilasi yang baik. Pastikan kipas tidak diletakkan di tempat yang menyebabkan udara tercemar bergerak ke arah jemaah. Kipas boleh diletakkan berhampiran tingkap untuk membantu mengeluarkan udara dari dalam ke luar. Pada masa yang sama, udara segar boleh masuk melalui tingkap.

Alat pendingin hawa perlu kerap diselenggara untuk memastikan ia beroperasi dengan baik. Penapis udara yang ada pada alat-alat pendingin hawa ini perlu dibersihkan secara kerap dan berkala. Sistem yang tidak diselenggara boleh menyebabkan kuman serta kulat membiak dalam pendingin hawa ini dan boleh menyebabkan jangkitan selain daripada menyebabkan kerengsaan pada sistem pernafasan yang berpunca daripada hama dan habuk.

Penggunaan alat penapis udara jenis HEPA yang boleh menapis hampir 100% molekul bersaiz 0.3 micrometer juga digalakkan bagi tujuan pencegahan. Ia boleh menapis titisan pernafasan yang berukuran kurang 5 micrometer dan mengurangkan risiko penyebaran kuman.

Apakah peranan jemaah bagi mencegah jangkitan COVID-19?

Jemaah masjid harus mengikut SOP yang mengkehendaki mereka mengimbas kod QR MySejahtera, menggunakan pembersih tangan (hand sanitiser), membawa sejadah sendiri, melakukan penjarakan fizikal sepanjang masa semasa berada di masjid serta digalakkan mengambil wuduk di rumah.

Sebaik sahaja selesai beribadah, jemaah disarankan agar terus meninggalkan masjid dalam keadaan tenang dan teratur sementara mengekalkan jarak fizikal lebih daripada satu meter di antara satumsama lain. Kami juga mencadangkan agar sumbangan atau sedekah ke tabung masjid hanya menggunakan perbankan atas talian dan tidak menggunakan tabung fizikal terutamanya tabung bergerak ketika solat Jumaat atau solat-solat fardu.

Jemaah juga harus menggunakan pelitup muka sepanjang masa ketika berada di masjid atau surau bagi mengurangkan risiko jangkitan. Sekiranya dibenarkan untuk berbuka puasa di masjid, dicadangkan agar makanan yang dihidangkan adalah makanan tersedia secara berbungkus.

Ketika makan, kekalkan jarak anda dan tidak berkongsi makanan. Memandangkan restoran-restoran dan kedai-kedai makan telah dibenarkan oleh kerajaan untuk beroperasi, kebenaran untuk berbuka puasa di masjid adalah wajar dibenarkan.

Kajian menunjukkan bahawa berkumur dengan cecair kumur antiseptik boleh membunuh virus di dalam tekak. Anda digalakkan untuk berkumur dengan cecair kumur antiseptik setelah pulang dari masjid. Semasa berwuduk, amalkan berkumur dengan betul dengan cara mendongakkan kepala 45 darjah supaya air sampai ke bahagian tekak. Kemudian diikuti dengan meratakan air di dalam rongga mulut.

Memasukkan air ke dalam rongga hidung juga telah dibuktikan dapat mengurangkan
risiko jangkitan saluran pernafasan. Justeru, sentiasa amalkan amalan sunat ini setiap kali anda berwuduk. Jemaah digalakkan membawa pembersih tangan sendiri supaya mudah untuk membersihkan tangan.

Ini juga untuk memastikan anda menggunakan pembersih tangan yang selamat, berkualiti dan berkesan (tidak dicampur air) dan juga yang sesuai dengan kulit anda. Sejadah juga perlu dibawa dari rumah. Seelok-eloknya bawa sejadah yang mudah dicuci atau dibersihkan dengan cecair antiseptik. Bahagian bawah sejadah yang bersentuhan dengan lantai mungkin tercemar tanpa anda sedari.

Jika masjid mempunyai kawasan beranda atau kawasan yang tidak berdinding, pilih kawasan tersebut untuk solat. Elakkan bersalaman dan bersembang dengan jemaah lain. Kurangkan masa berada di masjid, terus pulang setelah selesai solat.

Sudah bersediakah kita untuk mengimarahkan masjid?

Pada bulan Ramadan setiap tahun, tentunya umat Islam berazam untuk menambahkan amal ibadah dengan sembahyang berjemaah lima waktu, menghadiri kuliah-kuliah di masjid, bertadarus al-Quran, berbuka puasa bersama ahli kariah, bersedekah dan solat Terawih serta kuliah Subuh. Untuk membolehkan kita menunaikan ibadah kita dengan selamat dan dalam masa yang sama mengekalkan kesihatan kita, kita semua disarankan agar mengikut saranan yang digariskan seperti di atas.

Kerajaan Malaysia telah memulakan fasa pertama pemberian vaksin pada 24 Februari 2021. Dijangkakan bahawa fasa kedua yang melibatkan golongan rentan akan bermula pada bulan Mac 2021.

Jangan lupa mendaftar untuk mendapatk an vaksin menggunakan aplikasi MySejahtera. Jika anda mendapatkan suntikan pertama pada akhir Mac dan dos kedua pada pertengahan April, maka badan anda telah mempunyai antibodi menjelang Ramadan. Sudah pasti anda akan tidak teragak-agak untuk bersolat terawih di masjid sepanjang Ramadan.

Risiko untuk mendapat COVID-19 adalah sangat rendah kerana anda dilindungi oleh antibodi. Walau bagaimanapun, anda harus terus patuh kepada SOP yang ditetapkan. Ulama di seluruh dunia berpendapat bahawa pengambilan vaksin adalah diharuskan.

Ini adalah kerana pengambilan vaksin untuk melindungi nyawa adalah satah satu
daripada ‘Maqasid Al-Shariah’ yang dituntut oleh syarak. Selain melindungi nyawa sendiri,
pengambilan vaksin juga melindungi individu-individu yang tidak boleh mengambil vaksin atas sebab-sebab kesihatan melalui imuniti kelompok.

Namun, imuniti kelompok hanya boleh dicapai apabila sekurang-kurangnya 70% daripada masyarakat dalam sesuatu kawasan telah beroleh imuniti. Penolakan kepada pemberian vaksin bukan hanya boleh menyebabkan seseorang itu mendapat jangkitan, malahan dia juga mungkin dihalang untuk masuk ke negara lain termasuk ke Arab Saudi
dan Mekah untuk menunaikan ibadah haji dan umrah.

Dengan kedatangan bulan yang mulia ini, diharapkan agar umat Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia untuk sama-sama membanyakkan ibadah di samping memanjatkan doa agar kita semua dilindungi daripada jangkitan COVID-19 dan pandemik ini berakhir dengan segera. Manfaatkan waktu-waktu yang terluang untuk membaca Al-Quran di samping ibadah wajib termasuk solat dan berpuasa.

Walaupun mungkin pada bulan Ramadhan ini negara kita masih belum pulih sepenuhnya
daripada pandemik ini, namun kita hendaklah sentiasa meningkatkan amal ibadat dalam apa jua keadaan terutamanya dalam sekarang. Semoga Ramadhan pada kali ini adalah Ramadhan yang lebih baik buat kita dari tahun-tahun sebelum ini.

Akhir kata, perhebatkan amal ibadah bermula dari sekarang dalam persiapan menuju Ramadhan. Di samping itu mengamalkan SOP sedia ada, perhebatkan juga usaha untuk mencegah COVID-19 dengan cara mendaftar untuk vaksinasi, berkumur dengan cecair kumur anti septik apabila perlu dan perbaiki sistem ventilasi di masjid juga di rumah.

Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed (Pakar Mikrobiologi Klinikal) &
Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani (Pakar Perubatan Kesihatan Awam)
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia