Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Majlis rasmi dan tidak rasmi yang melibatkan kenduri, majlis perkahwinan, pertunangan, majlis akikah, doa selamat sambutan ulang tahun dibenarkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, had kehadiran yang perlu dipatuhi bagi kawasan PKPB adalah 50 peratus daripada keluasan premis.

Bagi kawasan PKPP pula, had kehadiran mengikut keluasan premis.

Katanya lagi, bagi majlis yang diadakan di kawasan terbuka, tidak ada had jumlah kehadiran namun Prosedur Operasi Standard (SOP) perlu diutamakan seperti penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dan rekod kehadiran.

Selain itu, Ismail turut mengumumkan sektor pelancongan dan kebudayaan dibenarkan bagi kawasan yang dikuatkuasakan PKPB dan PKPP bermula 6 pagi sehingga 12 tengah malam.

“Antaranya adalah produk tarikan pelancong awam seperti zoo, farms, akuarium, pusat edutainment, taman rekreasi,
extreme/adventure/nature parks dan lain-lain.

“Premis hasil seni, budaya dan warisan seperti muzium, perpustakaan, galeri seni, pusat/kampung
seni warisan budaya, pentas persembahan budaya dan lain-lain.

“Turut dibenarkan beroperasi taman tema dan pusat hiburan keluarga, SPA, refleksologi, urut, wellness termasuk perkhidmatan pedicure dan manicure,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurut beliau, bagi aktiviti pelancongan dan kebudayaan yang lain pula adalah tertakluk kepada SOP sedia ada sebelum ini.

Turut dibenarkan di kawasan PKPB dan PKPP adalah seminar, bengkel, mesyuarat, latihan dan pameran perdagangan.

“Had kehadiran bagi kawasan PKPB adalah 50 peratus kapasiti premis manakala bagi PKPP adalah mengikut keluasan premis dengan mengamalkan penjarakan fizikal,” tambah beliau. -MalaysiaGazette