Larry Sng Wei Shien

KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi PKR Sarawak, Larry Sng Wei Shien hairan bagaimana parti lamanya mahu mengambil tindakan mahkamah terhadapnya yang keluar parti baru-baru ini.

Menurutnya, beliau tidak bertanding atas tiket PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu sebaliknya menang kerusi Parlimen Julau atas tiket bebas.

Jelas Larry, selepas itu beliau bertindak menyertai PKR kerana mendapat jemputan.

“Saya tidak teringat dengan apa-apa perjanjian dengan PKR sebelum ini kerana saya menang kawasan Parlimen saya di Julau pada PRU lepas atas tiket calon bebas.

“Saya hanya dijemput sertai PKR selepas PRU, jadi jika ada cadangan untuk ambil tindakan perundangan pastinya tidak ada kena mengena dengan saya,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Larry mengulas kenyataan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution yang  sedang berkira-kira untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Larry serta Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong kerana dakwaan mengkhianati parti. 

Larry dan Choong bertindak keluar PKR dan menyatakan sokongan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mereka dapat menyelesaikan isu rakyat yang masih tertunggak.

Mereka juga menyatakan sokongan kepada Muhyiddin adalah usaha untuk bergerak ke hadapan dan mengetepikan politik buat masa ini dan menumpukan kepada usaha membantu rakyat menghadapi tempoh sukar ketika ini susulan pandemik Covid-19.

Muhyiddin menerima Akuan Bersumpah (SD) daripada dua ahli Parlimen pembangkang yang menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam pada itu, Larry turut memberikan contoh bagaimana Ahli Parlimen Lubbock Antu, Jugah Muyang yang meninggalkan PKR, beliau tidak dikenakan sebarang tindakan perundangan kerana wakil rakyat itu juga tanding bebas.

“Jugah Mayang juga keluar PKR tetapi tidak pula dikenakan apa-apa tindakan undang-undang, jadi apa asasnya hendak bertindak sebaliknya dengan saya?,” ujarnya.

Malah kata Larry dalam nada sinis, jika PKR begitu berprinsip serta menolak budaya lompat parti,  mengapa ada ura-ura tentang penyertaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Amanah yang menyertai PKR.

“Jika begitu ‘kisah’ dengan lompat parti ini, anda patut tidak terima Adun dari Amanah. Itu melanggar prinsip reformasi yang menjadi amalan selama ini,” tegasnya.

Larry, 39, yang juga bekas Presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP), berjaya meraih 10,105 undi, manakala Salang mendapat 8,174 undi dengan bertanding sebagai calon Bebas memenangi kerusi tersebut dalam pertandingan satu lawan satu.

Larry pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus, meneruskan legasi politik bapanya, Datuk Sng Chee Hua, seorang ahli perniagaan terkenal.

Beliau mengambil alih teraju PKR Sarawak selepas Ahli Parlimen Selangau, Baru Brian meninggalkan PKR pada tahun lepas. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Keluar parti: PKR minta maaf