(Picture for representational purposes only) An orang asli student from the Temuan Tribe, Muhammad Jumaidi Omer Faruk, 14, doing his school homework in conjunction with the home-based teaching and learning (PdPR) at Kampung Pangsun, Hulu Langat, Selangor. PIX: SYAFIQ AMBAK / MalaysiaGazette / 25 JANUARY 2021. free 1GB mobile data internet
Foto hiasan

TIADA  siapa pernah menduga, sudah lebih setahun dunia dikejutkan dengan pengesanan virus Covid-31 Disember 2019, yang kemudiannya tersebar luas di kebanyakan negara termasuklah Malaysia. Justeru, normalisasi penjagaan kesihatan dan perjarakan sosial dilaksanakan secara berterusan melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan dibuat secara berperingkat mengikut situasi semasa bagi menyekat penyebaran virus.

Langkah PKP yang pertama kali di dilaksanakan pada 16 Mac 2020 memberi kesan negatif kepada pelbagai sektor ekonomi, termasuklah sektor pendidikan. Tanpa mempedulikan arus perubahan yang melanda negara, ahli akademik dan pelajar hari ini mengharungi cabaran pendidikan atas talian dengan permulaan awal ‘cuba dan jaya’.

Tugas mengendalikan kelas secara atas talian bukanlah mudah. Apa lagi untuk memastikan pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PDP) berkualiti dan berkesan untuk kesemua pelajar. Keberkesanan pendekatan PDP pada hari ini bukanlah bergantung kepada kepakaran pendidik dalam bidang tujahan semata-mata. Ilmu pedagogi digital dan kreativiti tenaga akademik dalam dunia teknologi informasi turut memainkan peranan tersendiri.

Bahkan, jurang digital dalam pendidikan menjadi cabaran besar yang boleh mengurangkan keberkesanan pendidikan secara atas talian. Sudah tentu, jurang digital yang semakin membesar pada hari ini adalah berpunca dari jurang kemiskinan dan faktor lokasi. Walaupun terdapat kajian bahawa capaian internet di Malaysia mencapai 80 peratus secara keseluruhan, keadaan ini tidak berlaku dalam realiti sebenar.

Bagaimana Menangani Ketidakcukupan?

 Dalam usaha pihak kerajaan ingin menggalakkan penggunaan meluas perkhidmatan secara digital kepada masyarakat – melalui  perniagaan atas talian, penggunaan transaksi e-wallet, pendanaan ramai (crowdfunding) – harus diingat ada golongan yang tersasar dari kelompok ini. Terdapat dua perkara utama yang perlu dititikberatkan dalam semua aktiviti berasaskan talian, pertamanya adalah fasiliti jaringan internet yang meluas dan kedua adalah kemudahan peranti yang mencukupi.

Suka atau tidak dengan pendekatan pendidikan hari ini, kita harus akur bahawa PDP atas talian akan terus berlangsung secara berterusan selagi keadaan tidak pulih seperti sediakala. Apa dibimbangkan, jika ada segelintir ahli masyarakat terpaksa mengorbankan pendidikan anak-anak dek ketidakcukupan wang bagi menyokong sesi pembelajaran atas talian.  Begitu juga, mungkin ada yang terpaksa meminjam wang dari sumber tidak sepatutnya bagi menyediakan kemudahan kepada anak-anak.

Meminjam konsep maqasid Syariah (objektif Syariah) dalam konteks permasalahanPDP PDP jurang digital pada hari ini, pendidikan merupakan salah satu keperluan umum yang mesti dinikmati oleh semua tanpa sebarang diskriminasi. Bahkan, pendidikan berada dalam domain dharuriyyat (keperluan) di bawah pengkelasan maqasid Syariah. Oleh itu, anjakan berbentuk filantropi perlu diperkukuhkan bagi memenuhi keperluan masyarakat yang lebih luas merangkumi aspek pendidikan. Pengukuhan sektor ekonomi ketiga perlu diperluaskan dalam memenuhi kelompangan yang tidak mampu dipenuhi pihak kerajaan dalam dunia yang serba mencabar.

 

Konsep Filantropi di Institusi Pendidikan Tinggi

Usaha yang berterusan dari pelbagai pihak perlu bagi mengisi kelompangan yang ada dari segi fasiliti dan jaringan internet yang ada. Pusat waqf, endowmen dan zakat di setiap institusi pengajian tinggi perlu berperanan sebagai orang tengah yang berfungsi memadankan dana dari pihak yang menyumbang kepada para pelajar yang memerlukan.  Sebagai institusi yang hampir dengan pelajar, institusi sebegini perlu aktif dalam mengenal pasti pelajar yang benar-benar berkeperluan supaya tiada ketirisan berlaku.

Namun, usaha ini tentulah memerlukan sokongan dari masyarakat, agensi kerajaan dan badan-badan koporat bagi mematerialisasi agenda peluang pendidikan yang serata di kalangan masyarakat. Justeru, ketelusan pengurusan pusat waqaf dan zakat perlu dimenifestasi dalam bentuk pelaporan yang berterusan dan jelas bagi setiap aktiviti yang dilaksanakan. Langkah ini sudah tentu akan meningkatkan tahap kepercayaan pemegang taruh kepada institusi sebegini.

Profesor Madya Dr Nurul Aini Muhamed
Timbalan Pengarah Pusat Wakaf dan Zakat (USIM)
Universiti Sains Islam Malaysia