Anwar Ibrahim (empat kiri) bersama Mohamad Sabu (empat kanan) dan Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng (tiga kanan).

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan mengecam sekeras-kerasnya penggunaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia dan agensi-agensi lain sebagai senjata politik terutama bertujuan menambah sokongan kerajaan minoriti Perikatan Nasional.

Pertandingan politik di Malaysia wajib berlaku dalam suasana sihat dengan mengamalkan demokrasi berteraskan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kenyataan bersama, Majlis Presiden Pakatan Harapan berkata, pihaknya kesal dengan tindakan pihak berkuasa ke atas perniagaan dengan pelbagai tuntutan kewangan yang tidak munasabah serta pembekuan akaun bank untuk menambah pendapatan kerajaan yang berkurangan.

Kenyataan itu dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, selakau Presiden Parti Keadilan Rakyat, Mohamad Sabu (Parti Amanah Negara) dan Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP.

“Pada waktu ini, kami difahamkan tindakan-tindakan masih terus dilakukan bersekali dengan tekanan untuk Ahli-Ahli Parlimen pembangkang menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Dari segi prinsip, kami menyokong sebarang tindakan yang berlandaskan hukum dan undang-undang.

“Tetapi sebarang penyalahgunaan institusi dan agensi dengan niat untuk menganggu, menekan atau menakut-nakutkan musuh politik langsung tidak boleh diterima,” kata kenyataan itu.

Mereka percaya, tindakan itulah yang dilakukan terhadap ramai pihak termasuk Guan Eng dan isteri, LArry Sng, Steven Choong dan kini secara tidak langsung terhadap Datuk Dr Xavier Jayakumar. – MalaysiaGazette