Anggota bomba menerima suntikan vaksin COVID-19 khas kepada petugas barisan hadapan di Sunway Pyramid Convention Centre, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 11 MAC 2021.
SAYA telah mendengar sidang media mengenai perkembangan Program Imunisasi
Covid-19 Kebangsaan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19
Kebangsaan, YB Khairy Jamaluddin bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham
Baba baru-baru ini. Disebut bahawa sidang media seperti ini akan dilakukan secara
mingguan kepada media dan orang ramai.
Ini merupakan satu langkah yang sangat tepat oleh kerajaan. Dalam melawan Covid-
19, rakyat harus didedahkan dengan maklumat terperinci dan terkini. Dengan itu,
keputusan-keputusan yang sepatutnya boleh diambil baik di peringkat individu,
keluarga, pimpinan masyarakat, syarikat-syarikat, pihak berkuasa, kerajaan tempatan,
negeri dan sebagainya.
Program Imunisasi Covid-19 yang dimulakan dengan suntikan pertama kepada YAB
Perdana Menteri (PM) pada 23 Februari yang lalu mensasarkan pemberian vaksin
kepada 500,000 orang untuk pusingan pertama.
Menteri dalam sidang media itu memaklumkan bahawa seramai 301,699 orang telah
divaksin dengan 664,560 dos telah diberikan. Jumlah jemputan vaksin yang dikeluarkan
pula adalah sebanyak 391,877 jemputan.
Selain itu, YB Khairy juga memaklumkan perincian penghantaran bekalan vaksin
termasuk ketibaan vaksin Sinovac pada 18 Mac dengan beliau sendiri bakal menjadi
rakyat Malaysia pertama yang menerimanya. Ia satu langkah yang perlu dipuji kerana
tindakan itu akan meningkatkan keyakinan ramai terhadap vaksin tersebut.
Apa yang menarik adalah fakta bahawa hanya 22.8 peratus daripada penduduk
Malaysia yang akan divaksin telah mendaftarkan diri untuk menerima vaksin. Jumlah ini
membimbangkan kerana ia bakal membantutkan proses pemberian vaksin fasa kedua
nanti yang akan melibatkan 9.4 juta penerima sehingga Ogos 2021.
Didedahkan juga setakat 13 Mac, seramai 5,534,114 individu telah mendaftar melalui
MySejahtera dan seramai 404,399 individu telah mendaftar melalui laman web dan
panggilan telefon dengan beberapa nama yang bertindan dan kerajaan memaklumkan
bahawa data itu sedang dimurnikan.
Di samping itu, terdapat 1.4 juta individu yang telah mendaftar untuk menerima vaksin
diminta melengkapkan pendaftaran mereka seperti alamat tempat tinggal dan penilaian
kesihatan bagi membolehkan tarikh janji temu diatur.
Disebut juga cabaran mendaftarkan warga emas 60 tahun ke atas untuk menerima
vaksin dan dimaklumkan bahawa kerjasama telah dibuat melalui Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat untuk mengenal pasti ahli di bawah
Jabatan Kebajikan Masyarakat dan ahli di bawah Pusat Aktiviti Warga Emas.
Selain isu teknikal pendaftaran, kebimbangan orang ramai mengenai keberkesanan
vaksin perlu diberi jawapan dan penerangan. Seruan Tan Sri Dr Jemilah Mahmood,
penasihat khas kesihatan awam kepada Perdana Menteri yang meminta supaya
pendekatan Whole-of-Society diaplikasikan sangat tepat. Usaha ini tonggak utamanya
perlu digerakkan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang wujud seluruh Malaysia.
Tan Sri Dr Jemilah memaklumkan bahawa seramai 6,000 orang sukarelawan
diperlukan bagi usaha imunisasi sehari. Banyak usaha yang telah muncul di lapangan
seperti usaha mengumpulkan sejuta sukarelawan.
Usaha ini antaranya digerakkan oleh Volunteers for Community Engagement and
Empowerment for Covid-19 (VCEE19) dan satu usahasama antara kerajaan dan Bulan
Sabit Merah Malaysia melalui Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC) perlu
disambut oleh rakyat Malaysia terutamanya anak muda.
Di pihak kami mewakili IKRAM Muda Malaysia (IKRAM Muda), usaha telah dilakukan
untuk menggalakkan seluruh kawasan dan negeri di Malaysia bagi melaksanakan
program penerangan tentang keperluan vaksin Covid-19 kepada ribuan ahli IKRAM
Muda.
Ahli yang telah mendapat vaksin dalam fasa pertama juga diminta untuk berkongsi
pengalaman dan berkempen tentang keperluan mendapatkan vaksin melalui media
sosial masing-masing.
Di samping itu, ahli-ahli digalakkan mendaftarkan diri sebagai sukarelawan dengan
pelbagai platform yang telah tersedia dan dicadangkan untuk melaksanakan program
pendaftaran vaksin dalam kalangan penduduk setempat masing-masing. Kami harap
usaha ini dapat membantu kerajaan mencapai sasaran bilangan individu divaksin.
NGO-NGO lain disarankan melakukan perkara sama bagi membantu Program
Imunisasi Nasional. Mewakili pihak IKRAM Muda, kami ingin mencadangkan supaya
kerajaan mewujudkan satu pangkalan data khas sebagai rujukan kepada NGO-NGO
dalam merencana program kepada masyarakat setempat.
Akses data terperinci seperti peratus penduduk yang telah mendaftar di sesuatu
kawasan amatlah berguna dalam melaksanakan kempen pendaftaran vaksin Covid-19
sebagai contoh.
Kerajaan juga diseru supaya menjadi penyelaras kepada NGO-NGO yang ingin
membantu supaya usaha melawan Covid-19 dapat dilakukan dengan tersusun dan
efisien seterusnya mencapai sasaran 80 peratus penduduk Malaysia yang patut
divaksin menerima vaksin masing-masing sebelum tahun 2022.
Dr Syamimi Saadon
Timbalan Ketua IKRAM Muda Malaysia