Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Seramai 44 individu ditahan kerana melakukan kesalahan ingkar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain ditahan, kesemua mereka turut kenakan kompaun, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi kenyataan media, hari ini

Beliau berkata, antara kesalahan yang dilakukan adalah tidak mematuhi penjarakan fizikal (39), gagal menyediakan peralatan serta merekod diri sebagai pelanggan (3), merentas negeri dan daerah tanpa kebenaran (1) dan tidak memakai pelitup muka (1).

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, seramai tujuh orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan manakala sebuah kenderaan darat serta sebuah bot dirampas dalam Op Benteng.

Katanya, dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 98 buah bot serta kapal di perairan negara melalui enam aktiviti penglihatan.

“Seramai lima orang PATI turut diusir melalui dua aktiviti pengusiran,” ujarnya.

Sementara itu, seramai 1,357 warga asing telah menjalani ujian
saringan dan daripada jumlah itu, dua daripada mereka didapati positif Covid-19.

Secara kumulatifnya, Ismail berkata, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 659,757 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 yang melibatkan 34,227 majikan.

“Daripada jumlah itu, seramai 10,064 orang telah disahkan positif
Covid-19 manakala, 649,693 lagi adalah negatif,” katanya.

Ismail Sabri memberitahu, seramai 858 individu yang tiba di semua pintu masuk antarabangsa telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

Secara kumulatifnya kata beliau, sejak 24 Julai tahun lepas, seramai 157,681 individu telah pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 81 hotel dan lapan Institut Latihan Awam (ILA) serta institut pengajian swasta di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, seramai 7,124 individu telah dikuarantin dan
149,382 orang dibenarkan pulang manakala 1,175 lagi dibawa ke
hospital. – MalaysiaGazette