KLUANG- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan memuktamadkan pelaksanaan dua penubuhan Jawatankuasa pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique memberitahu, ia melibatkan Penubuhan Jawatankuasa Exco Perpaduan dan Penubuhan Jawatankuasa Permuafakatan Daerah.

Dua jawatankuasa yang bakal ditubuhkan tidak lama lagi itu akan memperkasakan pembangunan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dalam negara ini.

“Majlis mesyuarat exco-exco perpaduan di peringkat negeri-negeri yang melibatkan semua exco-exco. Majlis ini yang melibatkan semua exco tanpa mengira parti sama ada kerajaan atau pun pihak pembangkang.

“Semua ini akan duduk bersama sebagai ahli,”katanya pada majlis Program Malaysia Prihatin, Memperkasa Kempimpinan Komuniti Rukun Tetangga Zon Kluang / Batu Pahat / Mersing di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Dataran Tasik Kluang, di sini hari ini.

Sementara itu, Halimah berkata, Pegawai Daerah merupakan perantara kerajaan untuk menyampaikan suara komuniti di setiap kawasan mereka.

“Sebab itu penubuhan jawatankuasa daerah ini kita akan libatkan Pegawai-pegawai Daerah supaya mereja jadi perantara kerajaan.

“Kedua-dua penubuhan ini akan dibentangkan bukan sahaja kepada majlis penasihat yang penting, kita akan bincangkan semua di peringkat negeri,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Halimah berkata, pihaknya sedang dalam proses mengagihkan geran berjumlah RM50 juta kepada 8,330 Kawasan Rukun tetangga di seluruh negara.

“Kita ada 8,330 KRT dengan jumlah keahlian seramai 250,000 orang dan geran RM50 juta kepada semua KRT sedang dalam peringkat agihan dan dah bermula di Melaka minggu lepas membabitkan 249 KRT kira-kira RM1.49 juta, lepas ini di Johor, Perak, Selangor dan akan ke negeri- negeri lain,” ujarnya.

Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2030 yang dilancarkan pada Februari lalu bagi memastikan agenda perpaduan nasional dijayakan.

Dasar yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan inisiatif untuk memperkukuh perpaduan, seterusnya membuahkan Dasar Perpaduan Negara yang bersifat inklusif, jelas dan padu.

Selain itu, Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2030 yang menyokong strategi-strategi dalam Dasar Perpaduan Negara serta menetapkan aspirasi perpaduan yang ingin dicapai dalam tempoh 10 tahun akan datang. – MalaysiaGazette