Gagal mengemukakan alasan munasabah untuk rentas negeri merekodkan kesalahan paling tinggi dalam operasi pematuhan semalam.

KUALA LUMPUR – Rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran merekodkan kesalahan ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tertinggi dalam operasi pematuhan semalam.

Kesalahan itu mencatatkan 32 kes, diikuti 19 kes kesalahan tidak memakai pelitup muka dan 10 kes kegagalan individu merekodkan butiran diri di aplikasi MySejahtera.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mereka adalah daripada 64 individu yang ditahan semalam, dengan 59 dikenakan kompaun dan lima lagi direman.

Ismail Sabri Yaakob

Bagi operasi kawalan sempadan negara menerusi Op Benteng, beliau menjelaskan, pasukan keselamatan berjaya menangkap 37 pendatang asing tanpa izin (Pati).

“Daripada tangkapan itu, polis, tentera, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) merampas enam kenderaan darat.

“Sebanyak 171 bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan dan 16 Pati telah diusir melalui empat aktiviti pengusiran,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Berhubung barang keperluan asas, Ismail Sabri menyatakan, pemantauan serta pemeriksaan oleh anggota Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di peringkat peruncit dan pemborong mendapati bekalan makanan adalah stabil dan mencukupi.

Katanya, semalam, KPDNHEP telah membuat 742 pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan terdiri daripada peruncit (539), pemborong (172) dan pengilang (31).

“KPDNHEP juga telah melakukan 2,359 pemeriksaan khas dan semua premis didapati mematuhi SOP,” katanya. – MalaysiaGazette