Rokok seludup tidak bercukai yang dirampas pasukan khas KDNKA Bukit Aman dalam serbuan Ops Kontraban di Tasik Gelugor Pulau Pinang 8 April 2021.

KUALA LUMPUR – Dua suspek tempatan ditahan disyaki mendalangi penyeludupan rokok tidak bercukai secara aktif di negeri utara Semenanjung.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Deputi Komisioner Datuk Mastor Mohd Ariff berkata, kedua-dua invidu ditahan dalam Ops Kontraban yang dilancarkan di Pulau Pinang.

Menurut Mastor, satu pasukan khas KDNKA Bukit Aman telah melaksanakan serbuan itu.

“Kita telah melakukan serbuan Ops Kontraban di sebuah kawasan di Tasik Gelugor, Pulau Pinang semalam ke atas sindiket pengedaran rokok yang bergiat aktif di sekitar negeri tersebut.

“Operasi itu berjaya menahan dua orang lelaki warga tempatan berusia 34 dan 74 tahun untuk membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, hasil serbuan dan penahanan suspek, pasukannya berjaya merampas sejumlah 1.14 juta batang rokok tidal bercukai.

“Nilai rampasan itu adalah dianggarkan bernilai RM855,000. Kedua-dua suspek berkenaan telah ditahan reman di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Pulau Pinang di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.-MalaysiaGazette