Adnan Mat
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan menyemak semula Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang digunapakai oleh perkhidmatan awam selama ini.

Presidennya Adnan Mat berkata, SSM telah dilaksanakan dalam perkhidmatan awam bermula November 2002 dan sejak itu ia tidak pernah dikaji semula atau ditambah baik.

Kajian terhadap pembaharuan SSM perlu dilakukan dengan segera  kerana Adnan menyifatkan skim tersebut kini tidak lagi relevan dengan persekitaran ekonomi semasa.

“Selepas 19 tahun SSM dilaksanakan CUEPACS berpendapat sudah tiba masanya bagi kerajaan mengkaji semula skim sedia ada itu bagi memenuhi keperluan ekonomi dan kos sara hidup semasa.

“Dalam tempoh 19 tahun ini kita telah berhadapan dengan pelbagai kos kenaikan sara hidup termasuk harga rumah yang begitu mendadak,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, gaji permulaan di sektor kerajaan pada waktu ini adalah sebanyak RM1,200 tanpa mengambil kira lain-lain elaun adalah masih jauh di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negara yang baru iaitu RM2,208.

Justeru ujar beliau, antara perkara yang perlu diberi penekanan dalam SSM baharu ini adalah penetapan kadar gaji minimum sebanyak RM1,800 sebulan.

Beliau berkata, keperluan SSM baharu itu diketahui selepas CUEPACS selesai mengadakan Bengkel Semakan Sistem Saraan Baharu dan Pemurnian dengan tema ‘Gaji Selesa, Harga Adil’ hari ini.

Bagaimanapun gesaan ini katanya, tidak bermaksud CUEPACS mahu kerajaan melaksanakannya dengan kadar segera pada tahun ini.

Sebaliknya tambah beliau, ia memerlukan suatu usaha yang benar-benar kukuh.

Mengulas lanjut katanya, CUEPACS bersedia untuk mengadakan rundingan dan perbincangan dengan kerajaan dalam menyemak dan memperbaharui semula SSM.

“Suatu tindakan drastik perlu dilakukan bagi menyemak semula SSM ini agar hasrat kerajaan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan penyampaian sektor awam dapat dilakukan dengan lebih berkesan,” katanya.

Turut dibentangkan dalam bengkel berkenaan adalah mengenai keadaan semasa ekonomi Malaysia, kos sara hidup serta pendapatan dan perbelanjaan rakyat khususnya melibatkan penjawat awam Malaysia. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast