Gambar hiasan.

JOHOR BAHRU – Polis Johor telah pun menahan lima lelaki yang dipercayai memukul seorang pelajar tingkatan dua di hadapan sebuah sekolah di kawasan Taman Daya, di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, penahanan itu melibatkan lima remaja lelaki berumur antara 15 hingga 17 tahun.

Penahanan itu susulan laporan yang dibuat oleh mangsa pada 8 April lalu pada jam 10.45 malam di Balai Polis Setia Indah.

“Berdasarkan laporan yang kita terima, mangsa telah dipukul lima lelaki yang tidak dikenali semasa sedang berbual dengan rakannya di hadapan sebuah sekolah.

“Kejadian dipercayai berlaku disebabkan rasa tidak puas hati kerana suspek menganggap mangsa telah mengejek adik saudaranya.

“Suspek bersama empat rakannya telah bertindak menyerang dan memukul pengadu beberapa kali pada bahagian muka,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjarakan selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Sebelum ini, tular video berdurasi satu minit 53 saat, yang memaparkan seorang pelajar ditampar oleh sekumpulan lelaki. – MalaysiaGazette