KUALA LUMPUR – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) akan mengagihkan sumbangan kepada kumpulan sasaran terpilih selama 20 hari bermula 1 Ramadan dan bakal dimanfaatkan 78,000 penerima seluruh negara.

Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM Parihah Hasan berkata, program Inspirasi Qaseh
Ramadhan ini secara tidak langsung membantu meringankan bebanan yang ditanggung
masyarakat khususnya mereka yang terkesan sepanjang pandemik Covid-19.

Menerusi Inspirasi Qaseh Ramadhan kali ini, YaPEIM mengagihkan bantuan makanan
seperti bubur lambuk, kuih-muih, nasi berlauk dan kurma untuk dijadikan juadah berbuka
puasa membabitkan jumlah perbelanjaan RM647,000.

Pada peringkat Ibu Pejabat YaPEIM, sejumlah 600 pek juadah berbuka akan diagihkan
kepada masyarakat setempat setiap hari.

Malah program penyerahan sumbangan ini turut berlangsung serentak membabitkan 11 Pusat Pentadbiran YaPEIM Negeri (PPYN) di seluruh negara bermula 1 hingga 20 Ramadan dan bermula seawal jam 4 petang.

Parihah berkata, usaha ini membantu meningkatkan ekonomi usahawan yang
terbabit dalam sektor penyajian makanan selain membantu kumpulan sasaran yang
antaranya terdiri daripada fakir miskin, petugas barisan hadapan, rumah anak yatim dan
tidak terkecuali rumah-rumah kebajikan lain.

Untuk makluman, hidangan yang diagihkan berkenaan disediakan usahawan-usahawan
YaPEIM sekaligus menjadi inisiatif diambil YaPEIM dalam membantu mereka untuk
menjana pendapatan.

Pelaksanaan Inspirasi Qaseh Ramadhan kali ini juga membantu memperkenalkan peranan YaPEIM kepada masyarakat setempat selain memperkukuhkan jalinan yang erat dan mesra dalam kalangan masyarakat.

YaPEIM juga mengalu-alukan sumbangan daripada para dermawan dalam menghidupkan
budaya bersedekah dalam kalangan masyarakat, sekaligus mengejar keberkatan di bulan
penuh mulia ini.

Justeru, mana-mana individu mahupun organisasi yang ingin menyampaikan sumbangan
sekaligus menambah saham akhirat dalam usaha meringankan beban mereka yang lebih
memerlukan boleh terus ke jaringan https://qaseh.digitalyapeim.com/- MalaysiaGazette