Jerald Joseph (kiri) mempengerusikan sesi libat urus (engagement) antara komuniti orang asli, Kerajaan Negeri Kelantan, JAKOA, Majlis Daerah Gua Musang dan TNB bagi membincangkan pembangunan empangan hidro di Nenggiri pada 7 April lalu.

KUALA LUMPUR – Penduduk Kampung Orang Asli Pos Tohoi, berharap pelaksanaan projek pembangunan hidro di Nenggiri, Gua Musang, Kelantan dapat disegerakan kerana penduduk di ketiga-tiga perkampungan orang asli yang terlibat telah menunggu lapan tahun untuk ia dibangunkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan & Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Tohoi, Ajeh Baharom berkata, majoriti penduduk di Pos Tohoi, Pos Pulat dan Kampung Kuala Wias bersetuju untuk berpindah ke penempatan baharu dan memulakan kehidupan di tempat baharu seperti yang dipersetujui bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Kerajaan Negeri Kelantan dan Tenaga Nasional Berhad.

”Kami telah menunggu selama lapan tahun untuk melihat projek hidro ini berjalan supaya komuniti orang asli yang terlibat dapat memulakan kehidupan yang lebih baik di tempat baharu nanti,” kata Ajeh pada sesi libat urus anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada 7 April lalu

Sementara itu, Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd, Datuk Nor Azman Mufti, dalam taklimatnya memaklumkan TNB sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan dan sesi libat urus dengan semua pihak yang berkepentingan dalam semua projek pembangunannya.

“Sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan yang bertanggungjawab terhadap impak Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (Environmental, Social and Governance – ESG) dalam melaksanakan projek penjanaan elektrik, TNB sentiasa beriltizam memastikan setiap syarat dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa dan juga pihak kawalselia dalam melaksanakan projek penjanaan dipatuhi sepenuhnya.

”TNB juga komited memastikan komuniti orang asli yang terkesan dengan pembangunan projek hidro ini bakal mendapat pembelaan serta bantuan yang sewajarnya sehinggalah projek ini siap sepenuhnya serta beroperasi kelak,” jelasnya.

Sesi libat urus yang julung kali dianjurkan oleh Suhakam bersama pihak-pihak yang berkepentingan dalam projek pembangunan empangan hidro merupakan satu manifestasi bahawa sesi perundingan dan perbincangan dengan semua pihak dapat merungkaikan sebarang kekusutan atau salah faham antara pihak-pihak yang terlibat.

Sesi libat urus yang berlangsung dalam suasana harmoni itu disifatkan Suhakam sebagai berjaya merungkai kegusaran impak pelaksanaannya kepada komuniti sekitar projek itu.

”Suhakam berpuas hati dengan sesi libat urus yang berlangsung kerana pihak TNB telah pun memberikan penerangan terperinci mengenai pelaksanaan projek ini,” kata Pesuruhjayanya, Jerald Joseph yang mempengerusikan sesi.

Pada sesi itu, komuniti orang asli yang terkesan dan terlibat (dengan projek ini pula) diberi peluang yang luas untuk membangkitkan sebarang pertanyaan dan kemusykilan mengenai projek ini.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (Pembangunan), Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal dalam ucapannya berkata, sesi libat urus itu dapat memberikan penerangan yang lebih mendalam kepada mereka yang terkesan dengan projek itu.

”Kerajaan Negeri Kelantan mengalu-alukan pelaksanaan projek ini kerana ia bakal memberikan manfaat kepada semua rakyat negeri Kelantan, terutama komuniti orang asli yang terlibat di kawasan tersebut.

”Di samping itu, projek hidro ini dijangka dapat membantu kerajaan negeri meminimakan impak fenomena banjir besar yang kerap melanda negeri Kelantan selain mengatasi isu perbekalan air bersih serta pengairan dan menggiatkan eko-pelancongan,” katanya. – MalaysiaGazette