Shahril Sufian Hamdan

KUALA LUMPUR – Usaha UMNO untuk mengembalikan mandat rakyat menerusi pilihan raya selepas terkawalnya  Covid-19 tidak kesampaian sekiranya institusi pembuat dasar tidak dikembalikan fungsinya.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, keadaan bertambah buruk apabila proklamasi darurat menghalang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi semak dan imbang kepada kerajaan hari ini.

“Jangankan soal membuktikan keabsahan majoriti kerajaan Perikatan Nasional (PN), sedangkan bersidang pun tidak. Jangankan hendak meluluskan perbelanjaan, sedangkan bersidang pun tidak.

“Jika ada hujah mahu mengadakan pilihan raya kelak sebagai jalan keluar daripada kemelut politik, itu pun tidak mampu berlaku selagi Parlimen tak bersidang dan darurat terpakai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mendesak kerajaan mengembalikan fungsi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan mengadakan persidangan semula.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia selaras dengan titah Yang Dipertuan Agong (YDPA) yang menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat.

MKT UMNO juga mendesak kerajaan mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) khas bagi membolehkan persidangan Parlimen dan DUN dijalankan semula.

Dalam pada itu, pembukaan semula Parlimen dan DUN boleh mengembalikan demokrasi di negara ini dan selagi ia tergendala selagi itu proses semak dan imbang gagal dilakukan.

“UMNO percaya selagi demokrasi berparlimen tergendala, selagi prinsip akauntabiliti dikesampingkan, selagi itulah pelabur menjauhi, selagi itulah ekonomi hambar, akibat pembuatan dasar negara tidak terurus.

Katanya lagi, beberapa keputusan dalam mesyuarat MKT UMNO yang diputuskan semalam menunjukkan semua ahli termasuk anggota Kabinet mempamerkan kesatuan tindakan dalam parti Melayu itu.

“Sebarang ketetapan berkenaan kelangsungan pembabitan UMNO dalam Kerajaan PN pula akan diputuskan atas semangat musyawarah,” katanya.

Mengulas isu pemilihan, UMNO mengambil pendekatan komprehensif dan berhikmah yang memeriksa segala sudut sebelum menetapkan sebarang tarikh.

“MKT UMNO memutuskan untuk mendapat panduan dari pihak berwajib berkenaan kaedah terbaik, mengambil kira kekangan SOP Covid-19,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast