KUALA LUMPUR – Beberapa keping gambar yang dikongsi netizen di laman media sosial memaparkan orang awam sanggup beratur panjang dan bersesak bagi mendapatkan barangan kelengkapan Hari Raya Aidilfitri.
Gambar yang tular itu dipercayai dirakam di Bazar Aidilfitri, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini dan sebuah gedung tekstil di Bangi, Selangor.
Sebuah akaun Twitter memuat naik gambar yang menunjukkan orang awam dilihat teratur mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika membeli-belah di gedung berkenaan walhal keadaan sebenar mereka sebenarnya sedang berhimpit.
Sementara satu lagi gambar memaparkan orang ramai beratur panjang dengan segelintir daripada mereka turut mendukung bayi dan membawa kanak-kanak ketika menunggu giliran untuk mendapatkan barangan keperluan hari raya di Bazar Aidilfitri di ibu negara.
Menjengah ke ruangan komen, MalaysiaGazette mendapati rata-rata warganet tidak bersetuju melihat situasi tersebut apabila ada dalam kalangan orang awam yang berani mengambil risiko untuk berada di tempat yang sesak tanpa penjarakan fizikal.
Kebanyakan daripada warganet menyarankan orang ramai mengadaptasi norma baharu iaitu membeli-belah secara atas talian supaya dalam usaha mengurangkan risiko terdedah dengan jangkitan Covid-19.
Ada yang meluahkan rasa tidak puas hati selepas kerajaan mengumumkan pelanjutan operasi Bazar Aidilfitri sehingga pukul 2 pagi kerana khuatir akan mencetuskan kluster baharu berikutan tidak mematuhi SOP, terutamanya mengamalkan penjarakan fizikal.
Tidak kurang juga yang mempersoalkan mengapa kesemua bazar dan gedung pakaian boleh dipenuhi orang awam namun larangan untuk merentas negeri untuk pulang ke kampung berhari raya masih berkuatkuasa.
Untuk rekod, lima negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Kelantan dan Sarawak kekal dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 15 April lalu hingga 28 April kecuali di Sarawak hingga 26 April. – MalaysiaGazette