Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjalan keluar selepas selesai memberi keterangan berhubung audio perbualannya bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 27 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Polis menerima  18 laporan polis berhubung rakaman audio antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kesemua pengadu mendesak agar siasatan dijalankan bagi menentukan kesahihan rakaman audio itu.

“Penularan rakaman audio perbualan tersebut telah memberikan pelbagai persepsi negatif dan menimbulkan kebimbangan masyarakat berdasarkan kepada beribu komen-komen netizen di media sosial memandangkan kedua-dua individu berkenaan adalah merupakan dua orang pemimpin politik yang berpengaruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar yang merupakan Presiden PKR dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung rakaman klip audio yang dikatakan antara beliau dan Presiden UMNO itu membincangkan perkara berkaitan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada akhir Mac lalu.

Menurut Huzir, tindakan memanggil Anwar adalah merupakan suatu prosedur biasa bagi melengkapkan siasatan.

“Rakaman percakapan Anwar diperlukan bagi membantu siasatan tentang sejauh mana rakaman audio tersebut dapat disahkan sebagai perbualan di antara beliau dengan Ahmad Zahid.

“Siasatan terperinci juga perlu dijalankan untuk mengenal pasti individu yang membuat rakaman audio tersebut, motif ianya disebarkan dan sama ada wujud modifikasi rakaman oleh pihak-pihak tertentu yang bertujuan untuk menyebabkan atau mungkin menyebabkan kegentaran awam,” katanya.-MalaysiaGazette