Antara seluar dalam yang tertera sepotong ayat al-Quran dari Surah al-Hijr. Sumber, Facebook Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah.

KUALA LUMPUR – Seluar dalam lelaki atau ‘boxer’ tertera ayat suci Al- Quran dikesan dijual di beberapa pasar raya di Sandakan, Sabah selepas ia tular di media sosial baru-baru ini.

Pegawai Tadbir Agama, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) Sandakan, Romzi Abdul Rahman berkata, pihaknya mendapati terdapat sepotong ayat dari Surah al-Hijr tertera pada pakaian itu.

Katanya, semakan mendapati ayat tertera pada seluar dalam itu adalah ayat 98 surah berkenaan yang membawa maksud ‘Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, serta jadilah dari orang-orang yang bersujud’.

“Sebaik tiba di pasar raya berkenaan, pemeriksaan mendapati memang terdapat seluar dalam itu dijual namun telah disimpan.

“Rampasan telah dibuat kami lakukan dan kita juga dimaklumkan ada antara pakaian dalam sama turut memaparkan gambar berkaitan agama lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah membuat pemeriksaan di pasaraya sekitar Sandakan

Romzi berkata, penjual tidak terlibat dalam menghasilkan boxer itu dan pihak pengeluar syarikat pakaian dalam itu sudah mengeluarkan arahan penarikan seluar dalam terbabit.

“Seterusnya kami membuat pemantauan ke pasar raya lain dan menemui beberapa buah lagi pasar raya turut menjual seluar dalam itu dan mereka telah menyimpannya.

“Bagaimanapun, tindakan lanjut akan diambil bagi menangani perkara tersebut,” katanya.

Gambar seluar dalam lelaki yang tertera ayat suci al-Quran menjadi tular di laman Facebook sejak semalam. – MalaysiaGazette