Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Zailani Hashim menyampaikan sijil penghargaam kepada wartawan Malaysia Gazette, Nizam Zain pada program Sambutan Jubli Platinum 75 Tahun Bersama Media di Jabatan Pengangkutan Jalan, Putrajaya. Foto HAFIZ SOHAIMI, 04 MEI 2021.

PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya mengutip RM3.14 juta hasil daripada kutipan bayaran kompaun yang ditawarkan pengurangan sehingga 70 peratus di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim berkata, kutipan bayaran kompaun itu membabitkan 45,317 pembayar sejak tawaran itu diberikan sejak 13 April lalu.

“Tawaran ini macam tiada makna jika kita menyambut sambutan Jubli Platinum 75 Tahun.

“Ekoran daripada itu Menteri Pengangkutan telah mengumumkan 70 peratus pengurangan bayaran kompaun kecuali untuk kes-kes mahkamah.

“Sehingga kini sebanyak RM3.14 juta telah berjaya dikumpulkan di seluruh negara.

“Tawaran diskaun 70 peratus ini kita bagi dua bulan atau 60 hari dan akan berakhir pada 31 Mei 2021 dan tiada lanjutan tempoh selepas ini,” katanya pada sidang media di Kementerian Pengangkutan Malaysia malam ini.

Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Zailani Hashim beramah mesra bersama pengamal media pada program Sambutan Jubli Platinum 75 Tahun Bersama Media di Jabatan Pengangkutan Jalan, Putrajaya. Foto HAFIZ SOHAIMI, 04 MEI 2021.

Pada 12 April lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong mengumumkan pemberian tawaran pengurangan pembayaran saman sehingga 70 peratus kepada 3.5 juta notis saman yang masih aktif.

Menurut Ka Siong, tawaran itu bermula 13 April lalu kepada semua saman yang boleh dikompaun, termasuk kes yang masih dalam tindakan senarai hitam.

Dalam pada itu, daripada jumlah pembayar itu, Selangor merupakan negeri paling tinggi membuat pembayaran kompaun membabitkan 7,871 pembayar.

“Ini diikuti dengan Johor membabitkan 4,911 pembayar, Pahang (4,413), Perak (4,070), Kuala Lumpur (3,866) dan Kedah (3,385),” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast