Antara babak menarik di dalam Iklan Ramadan USIM 2021

NILAI – ”Terbaik iklan puasa USIM, tak pernah mengecewakan”.

”Tahniah, semoga terus menghasilkan video yang boleh memberikan inspirasi dan semangat”.

”Selalu ternanti-nantikan iklan dari USIM sama ada iklan puasa atau raya” – begitulah antara komen dari warganet yang telah menonton iklan Ramadan USIM 2021.

Penerbitan iklan Hari Raya Aidilfitri oleh syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai organisasi sudah menjadi kebiasaan saban tahun bagi meraikan kemeriahan 1 Syawal.

Mencipta kelainan dari kebiasaan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tampil dengan idea kreatif menerbitkan iklan khas bersempena bulan Ramadan tahun ini yang berjudul ‘Insan Terbaik’.

Diterbitkan oleh Pusat Komunikasi Strategik, iklan ini sudah mendapat tontonan lebih 6,000 tontonan sejak mula ditayangkan di saluran rasmi You Tube USIMTV dan Facebook USIMTV pada awal Ramadan lalu disamping mendapat penerimaan dan reaksi yang amat positif terhadap jalan ceritanya.

Membawa tagline ‘Berilah yang seadanya, Berkongsilah seikhlasnya’, penghasilan iklan Ramadan ini mengambil inspirasi daripada pendekatan Naib Canselor USIM yang ingin membudayakan warga universiti dengan konsep prosumerisme. Membawakan tiga jalan cerita yang berbeza dengan setiap watak utamanya berdepan dengan ujian dan cabaran dalam kehidupan tetapi akhirnya berjaya keluar dari kesulitan tersebut melalui bantuan pihak lain yang telah berkongsi ilmu pengetahuan, rezeki dan amalan menyumbang (infaq) seperti yang dituntut oleh agama Islam.

Kisah pertama mengenai Puan Erma, seorang ibu tunggal yang buntu setelah diberhentikan kerja menemui jalan keluar untuk meneruskan kelangsungan hidup bersama dua anaknya hasil dari jualan kek brownies yang dipelajarinya daripada usahawan alumni USIM melalui sebuah video yang ditayangkan di Facebook USIMTV. Produknya mendapat sambutan yang menggalakkan dan Puan Erma tidak lupa berkongsi hasil kek brownies yang dihasilkan kepada jiran tetangga.

Kisah kedua tentang Adam seorang pelajar yang kurang berkemampuan menghadapi kesukaran belajar di kampus kerana tidak mempunyai komputer. Melalui sumbangan orang ramai di portal Jom Infaq USIM, Adam akhirnya berpeluang memiliki komputer riba sendiri melalui program Bantuan Komputer Riba kepada Pelajar B40 yang dilaksanakan oleh Pusat Wakaf dan Zakat USIM.

Kisah ketiga adalah mengenai Encik Ihsan yang mempunyai seorang anak dalam kategori Orang Kelainan Upaya (OKU) percakapan. Melalui kepakaran yang Adam miliki dalam suntingan video di komputer, beliau secara tidak langsung telah membantu menunaikan hajat Encik Ihsan yang ingin melihat anaknya dapat membaca doa berbuka puasa bersama-samanya. Hajatnya termakbul apabila beliau menonton video bacaan doa berbuka puasa dalam bahasa isyarat yang dihasilkan oleh Adam bersama Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) USIM di saluran You Tube USIMTV.

Menurut Encik Hammad Farhi Mohd Saudi, Pengarah Pusat Komunikasi Strategik selaku penerbit Iklan Ramadan USIM 2021, mesej yang di bawa oleh iklan ini berjaya menterjemahkan slogan ‘Learn More, Make More, Share More’ yang ditekankan oleh Naib Canselor untuk melahirkan Prosumer Muslim.

”Masyarakat kini menghadapi pelbagai kesulitan dan cabaran. USIM mendekati mereka dan bersama berganding bahu dengan memberi penyelesaian dan inisiatif berbentuk perkongsian kepakaran dan ilmu, di mana ia jelas menunjukkan mampu memberi manfaat kepada pihak lain yang memerlukan.

”Iklan ini diharapkan dapat mendidik masyarakat bahawa ketika bulan Ramadan ini agar sentiasa memberi dan berkongsi, dan ianya tidak akan mengurangi apa yang kita miliki, malah akan digandakan. Bulan penuh kemuliaan, berilah yang seadanya, berkongsilah seikhlasnya,” ujarnya. – MalaysiaGazette