Soffian Santong.

GEORGE TOWN – Sebanyak sembilan sekatan jalan raya (SJR) ditempatkan di sekitar daerah Timur Laut dan Barat Daya Pulau Pinang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 10 hingga 23 Mei ini.

Bagi daerah Timur Laut, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, sebanyak tujuh SJR didirikan  membabitkan susur masuk dan keluar Jambatan Pulau Pinang, Batu Uban, Batu Ferringhi, Relau, Paya Terubong dan Jalan Sultan Azlan Shah.

Jelas beliau, SJR itu membabitkan kekuatan seramai 313 anggota termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Pihak Berkuasa Tempatan.

“Kita mempunyai sebanyak 30 pasukan pemantau di daerah ini bagi memastikan tiada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) sepanjang perayaan dan PKP.

“Tiada laluan tikus dikenal pasti di daerah ini berikutan ia adalah kawasan bandaraya,” katanya kepada pemberita.

Menurut Soffian lagi, pihaknya akan melakukan pemantauan SOP yang ketat di tempat awam terutamanya di pasar raya dan pasar awam.

“Tiada pemeriksaan dari rumah ke rumah akan dilakukan sebaliknya kita akan bertindak atas maklumat orang awam.

“Bagi pemohonan merentas negeri, pemeriksaan ketat akan dijalankan dan hanya atas keadaan tertentu saja mereka dibenarkan merentas negeri selain perlu melampirkan dokumentasi dengan alasan yang munasabah,” ujar Soffian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden AA Anbalagan dalam satu kenyataan media berkata, dua SJR didirikan di daerah Barat Daya berkuatkuasa jam 12.01 tengah malam ini.

Katanya, sekatan membabitkan susur kiri Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) atau Jambatan Kedua Pulau Pinang (JK2PP) dari arah Georgetown.

“Kita juga menempatkan SJR di susur naik laluan bertingkat di Jalan Sultan Azlan Shah menghala ke arah Bayan Baru dan Balik Pulau,” kata beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast