Lelaki yang menikam bekas abang ipar angkara rebut anak dari bekas isteri telah berjaya ditangkap dan kini direman tujuh hari. foto Astro Awani

AYER KEROH – Seorang penganggur yang didakwa membunuh bekas abang iparnya dalam kejadian pada hari pertama Syawal, di Kampung Berangan Enam, Jasin, Melaka, direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman sehingga 20 Mei terhadap penganggur berusia 32 tahun itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Ayer Keroh, Lee Kim Keat.

Penahanan reman terhadap suspek yang memakai pakaian lokap berwarna ungu itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, lapor Astro Awani.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, suspek lelaki itu terdahulu ditahan sekitar jam 6.30 petang semalam di hadapan sebuah masjid kira-kira 10 kilometer dari lokasi kejadian.

Suspek dikatakan cuba melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal sebelum berjaya dicekup sepasukan polis daripada Siasatan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin.

Katanya, suspek yang tidak bekerja itu mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah, selain ujian saringan air kencing terhadapnya juga disahkan positif dadah jenis methamphetamine.

Kejadian sekitar jam 7.30 pagi itu tercetus apabila suspek datang ke rumah bekas keluarga mentuanya untuk mengambil dua anak perempuan berusia lapan dan 10 tahun daripada bekas isteri.

Mangsa yang berusia 36 tahun dikatakan cuba menenangkan bekas adik iparnya sebelum suspek bertindak luar kawalan menikam mangsa menggunakan senjata pisau yang dibawa sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka. – MalaysiaGazette

Berebut anak, bekas abang ipar maut ditikam pagi Syawal