Orang awam diberi suntikan vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SYAFIQ AMBAK, 05 MEI 2021.

HARI Raya Aidilfitri sudah meninggalkan kita. Untuk tahun kedua kita tak dapat pulang berhari raya di kampung halaman bersama keluarga.

Keputusan kerajaan untuk tak benarkan rentas negeri dan daerah semasa musim perayaan adalah atas saranan pakar dari Kementerian Kesihatan (KKM).

Ia bukan dibuat menurut hawa nafsu atau dibuat kerana kepentingan politik sesetengah pihak.

Memang ramai marah dan tak puas hati kerana masing-masing tak boleh rentas negeri. Namun dalam masa sama kita ucap terima kasih dan syabas kepada KKM yang diterajui Datuk Seri Dr Adham Baba kerana menyusun strategi yang baik demi keselamatan orang awam.

Dr Adham juga mengambil pendekatan membuat pengumuman awal akan cadangan KKM untuk tak benarkan kita merentas negeri. Paling tidak, kita semua dapat merancang dengan lebih awal.

Ini tidak, sesuatu keputusan selalunya dibuat secara serta merta atau mengejut. Ia
menyebabkan rakyat bertambah marah kerana tak bersedia untuk membuat
persiapan.

Dalam pada itu, ternyata Dr Adham, warga kerja KKM dan para frontliners dilihat terus tabah dan bersabar walaupun setiap hari diserang bertubi-tubi dengan pelbagai komen dari netizen di media sosial.

Contohnya, Dr Adham sendiri pernah berkali-kali dikecam dan difitnah netizen dan musuh politikya, namun pemimpin Umno itu tetap terus bekerja siang dan malam seperti biasa.

Begitu juga dengan barisan frontliners kita di seluruh negara. Walaupun cuti dibekukan dan terpaksa bertugas tanpa kira musim perayaan atau tidak, mereka tetap meneruskan tugas demi negara.

Ramai juga dari kalangan frontliners ini yang dikecam netizen di media sosial. Namun atas amanah, mereka tetap keluar rumah meninggalkan insan-insan tersayang untuk berbakti kepada nusa dan bangsa.

Jika semua pihak gigih memberi fokus untuk memberhentikan penularan virus tersebut, kerja kita pasti berjaya dengan cepat.

Semua pihak patut bersama-sama berfungsi mengikut keupayaan sendiri. Ini tugas kita semua, bukan tugas menteri atau frontliners sahaja.

Selagi kita merasa tugas melawan Covid-19 ini hanya tugas menteri atau frontliners, maka kita tidak akan boleh berjaya.

Zambri Alias
Seremban, Negeri Sembilan