Orang awam beratur menunggu giliran untuk mengambil vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca pada program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 17 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Situasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dilihat lebih sistematik dan efisien berbanding hari pertama pengoperasian pada 5 Mei lalu.

Tinjauan Malaysia Gazette mendapati setiap akses ke WTCKL dipantau rapi oleh anggota penguatkuasa dan hanya mereka yang mempunyai temu janji pada hari tersebut sahaja dibenarkan untuk beratur.

Bakal penerima vaksin diminta untuk beratur mengikut stesen masing-masing iaitu stesen satu, dua dan tiga seperti yang tercatat di dalam aplikasi MySejahtera.

Pemerhatian lanjut mendapati tiada sebarang kesesakan yang berlaku kerana golongan warga emas dan orang kelainan upaya mempunyai laluan khas tersendiri selain orang awam yang hadir dilihat mematuhi arahan yang telah dikeluarkan.

Penjawat Awam, Jismin Yusoff selepas suntikan vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca pada program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 17 MEI 2021.

Menurut penjawat awam, Jismin Yusoff, 37, penerima vaksin yang belum mendapat tarikh temu janji di aplikasi MySejahtera tidak sepatutnya berada di mana-mana PPV kerana ia menjadi salah satu punca kesesakan di kawasan tersebut.

“Selagi belum dapat temu janji yang sebenar tidak perlu datang untuk menyesakkan keadaan sebab kalau kita tengok hari ini sangat lancar perjalanannya kerana hanya orang yang mempunyai temu janji sahaja dibenarkan untuk masuk.

“Kalau dah sampai waktu untuk temu janji datang dan jangan lepaskan slot tersebut kerana mungkin anda akan tunggu lebih lama lagi selepas itu selain merugikan masa.

“Datang lah pada waktu yang telah ditetapkan dan jangan lepaskan peluang yang ada untuk terima vaksin. Macam saya tadi hanya ambil masa sekitar sejam lebih sahaja untuk lengkapkan semua proses dan ia nya memang mudah,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette hari ini.

Konsultan Bank, Terrence Kong selepas suntikan vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca pada program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 17 MEI 2021.

Sementara itu, konsultan bank, Terrence Kong, 46, berkata, terlalu banyak maklumat yang tidak sahih berlegar-legar di media sosial menyebabkan segelintir orang awam keliru dan akhirnya tidak mematuhi arahan.

Jelas Terrence, tidak mustahil mereka yang hadir ke PPV untuk menunggu suntikan merupakan golongan yang terlepas untuk mendaftarkan diri ketika permohonan vaksin AstraZeneca dibuka kepada penduduk Kuala Lumpur dan Selangor.

“Sebelum ini saya pun tidak tahu ada vaksin yang boleh daftar secara sukarela dan telah mendapat maklumat melalui kumpulan WhatsApp rakan-rakan jadi sudah tentu ramai orang awam pun tidak berapa tahu.

“Dan bila mereka mengetahui tentang pemberian AstraZeneca mungkin sudah terlambat dan tidak boleh mendaftar lagi. Jadi mungkin ada segelintir yang akan mencuba nasib pergi ke sana dan ke sini berdasarkan apa yang mereka dengar seperti baki vaksin dan sebagainya.

“Ini kerana saya ada rakan yang buat begitu dan mereka dapat (suntikan) jadi orang lain fikir mereka ada harapan. Kita pun tidak boleh salahkan mereka,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai bakal penerima vaksin yang berstatus individu dalam siasatan (PUI) atau kontak rapat pesakit Covid-19 yang hadir ke PPV, Terrence menyifatkan masih ada sebilangan orang awam yang tidak memahami impak sebenar tentang wabak itu.

“Kalau mereka benar-benar faham apakah risiko Covid-19 ini dimana mereka berpotensi menjangkiti orang lain, saya rasa tidak ada orang yang sengaja akan keluar untuk sebarkannya.

“Mungkin juga kurang pengetahuan atau tidak sedar bahawa dengan berada di tempat awam mereka akan memberi risiko kepada orang lain.

“Apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan adalah menguar-uarkan informasi secara lebih meluas meliputi semua jenis bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Tamil dan Cina, buat mereka betul-betul faham akan situasi ini,” katanya.

Akauntan, Ahmad Tarmizzi Amizan selepas suntikan vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca pada program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Foto HAFIZ SOHAIMI, 17 MEI 2021.

Dalam pada itu, seorang akauntan, Ahmad Tarmizzi Amizan, 28, berkata, seharusnya tidak timbul isu memotong barisan untuk penerimaan vaksinasi atau kesesakan di mana-mana PPV kerana semua maklumat yang diperlukan tercatat di dalam MySejahtera.

Tambah Ahmad Tarmizzi, maklumat asas seperti tarikh, masa serta nombor stesen jelas dipaparkan di dalam aplikasi berkenaan.

“Kita kena ikut giliran yang telah ditetapkan di dalam MySejahtera, kalau boleh jangan lah cuba-cuba untuk potong giliran.

“Di sini pun kita kena ikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerana ramai anggota polis yang memantau,” ujarnya.

Pada Sabtu, PPV WTCKL memulakan proses vaksinasi secara besar-besaran dengan jumlah janji temu sebanyak 8,100 untuk tempoh masa 9 pagi sehingga 9 malam.

Menurut data Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), sebanyak 8,360 dos vaksinasi telah diberikan pada hari pertama operasi selepas cuti Hari Raya Aidilfitri manakala semalam membabitkan 8,595 dos.

Untuk rekod, pemberian suntikan vaksin AstraZeneca atau MyAZ secara sukarela bermula pada 5 Mei lalu di empat PPV di Lembah Klang.- Malaysia Gazette