Anggota polis mengiringi suspek, Tjoeng Chan Chin, 43 yang akan didakwa atas pertuduhan kes penipuan penjualan pelitup muka yang tidak wujud bernilai RM3.4 juta ketika di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 20 MEI 2021.

SHAH ALAM –  Seorang ahli perniagaan berumur 43 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas dakwaan menipu penjualan pelitup muka (facemask) yang tidak wujud bernilai RM352,000.

Tertuduh, Tjoeng Chan Chin yang tidak diwakili peguam bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan ke atas dirinya.

Menurut pertuduhan, ahli perniagaan tersebut di antara 28 April 2020 hingga 13 Mei 2020 memperdaya seorang lelaki bernama Raymond Liew Kian Chung  untuk mempercayai kewujudan  perniagaan pelitup muka.

Beliau kemudian telah mendorong Raymond membayar sebanyak RM352,000 kepadanya untuk tujuan perniagaan itu.

Beliau dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang mana jika disabit bersalah boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun selain sebatan dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zatil Hidayah Ali pada mulanya meminta mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM150,000 kepada tertuduh.

Namun selepas mempertimbangkan rayuan yang dibuat oleh Tjoeng, Hakim Muhammad Anas Mahadzir membuat keputusan untuk ikat jamin yang perlu dibayar adalah RM20,000.

Ia perlu dilunaskan oleh seorang sahaja penjamin.

Sementara itu, tertuduh pada mulanya memohon agar pendakwaan terhadapnya hari ini tidak disebarkan menerusi laporan berita kerana bimbang akan menjejaskan perniagaan yang dijalankan bersama-sama rakannya.

“Yang Arif, saya ingin memohon agar pendakwaan saya tidak disebarkan di media sosial, saya terkejut melihat ada media yang membuat liputan hari ini. Saya tidak mahu perniagaan yang saya jalankan bersama rakan saya akan terjejas akibat berita mengenai hari ini,” katanya.

Bagaimanapun menurut Hakim, permintaan tersebut tidak terpakai kerana tertuduh perlu membuat  permohonan menerusi peguambelanya.

Sehubungan itu,  Muhammad Anas mengarahkan agar Tjoeng untuk melantik peguambela untuk mewakili dirinya bagi memudahkan perjalanan kes kelak.

Mahkamah Sesyen Shah Alam turut menetapkan 14 Julai 2021 sebagai tarikh sebutan kes.

Sebelum itu, suspek datang ke mahkamah dengan memakai tongkat dipercayai kerana terjatuh sebelum itu. -MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.