MELAKA – Dua warga Bangladesh antara tiga lelaki direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi yang tumpas semalam.
Majistret Khairunnisak Hassni membenarkan perintan reman terhadap dua suspek warga asing berusia 28 dan 31 tahun itu serta lelaki tempatan, 34, selepas dipohon pegawai penyiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka.
Ketiga-tiga suspek tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh kira-kira pukul 12.10 tengah hari selepas ditahan jam 7 malam semalam hasil serbuan KPDN Melaka di sebuah stor penyimpanan diesel haram di kawasan perindustrian Krubong.
Sementara itu, Pengarah KPDN negeri, Norena Jaafar mengesahkan penahanan semua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).
Media hari ini melaporkan kejayaan KPDN Melaka melumpuhkan aktiviti penyeludupan 35,000 liter minyak diesel bersubsidi di negeri ini bernilai lebih RM75,000 ke sebuah negeri Pantai Timur negara menggunakan sebuah lori tangki. – MalaysiaGazette
KPDN Melaka tumpas sindiket seludup diesel subsidi rentas negeri