Empat laluan tikus di Daerah Kuantan ditutup menggunakan konkrit barrier semasa pelaksanaan PKPD bermula 24 Mei hingga 7 Jun 2021

KUANTAN – Empat laluan tikus ditutup dengan konkrit penghadang jalan dan kawat duri berkuatkuasa 12.01 tengah malam tadi ekoran perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah Kuantan bermula 24 Mei sehingga 7 Jun 2021.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner  Moahamad Noor Yusof Ali berkata, laluan tikus itu ditutup sepenuhnya secara kekal dan polis mengetatkan enam sekatan jalan raya di daerah ini sepanjang PKPD dijalankan.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) meletakkan konkrit penghadang jalan pada tengah malam tadi dan difahamkan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memasang kawat duri pada pagi ini.

Empat laluan tersebut melibatkan Jalan Jabor Lama-Alor Batu- Semambu, Jalan Jabor- MCKIP-Beserah, Jalan Felada Neram ke Jalan Bukit Kuantan, dan Jalan Tg Selangor- Sg.Soi- Jalan Kuantan ke Pekan – KUIPSAS.

Mohamad Noor Yusof Ali

“Nama saja jalan tikus, namun jalan bertar dan akan ditutup dengan bantuan agensi terlibat untuk memastikan laluan ditutup dengan kekal sepanjang PKPD berkuatkuasa.

“PDRM, ATM, Pejabat Daerah Kuantan, RELA, APM, telah bersedia melaksanakan  perancangan atur gerak bagi menguatkuasakan pematuhan dan pelaksanaan PKPD,” katanya.

Menurut beliau, laluan tikus mesti ditutup bagi mengelakkan ia digunakan oleh pengguna.

Polis juga mendapat kerjasama daripada JKR Daerah Kemaman yang membuat tanda arah lencongan bagi memudahkan pengguna dari negeri Terengganu mendapat arah jalan yang betul.

Ujarnya, ada enam sekatan jalan raya (SJR) dan polis memperketatkan SJR bagi memastikan aktiviti keluar masuk hanya kepada kenderaan atau individu yang perlu sahaja di daerah ini.

Proses penutupan jalan tikus dilakukan oleh pihak Jabatan Kerja Raya Daerah Kuantan

Sekiranya ada pergerakan pengguna yang berulang alik urusan pekerjaan dan mempunyai dokumen lengkap, maka tiada masalah dan pastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

“Virus yang bergerak kerana banyak pergerakan manusia, maka dengan adanya PKPD dapat menghadkan pergerakan manusia, yang boleh bergerak hanya mereka yang dibenarkan,” tegas Mohamad Noor.

Beliau berharap dengan cara pematuhan SOP yang tinggi dapat bersama-sama membendung penularan wabak Covid-19 yang melonjak di Kuantan ketika ini. – MalaysiaGazette