Seorang pekerja melakukan kerja harian selepas kerajaan memperketatkan Prosedur operasi standard (SOP) sektor ekonomi dan sosial ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sebuah pusat beli belah Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 22 MEI 2021.
Saudara Pengarang,
Saban hari, ada saja hantaran di pelbagai laman sosial dan aplikasi sembang berkait berita atau video menunjukkan sesetengah individu yang degil dengan arahan kerajaan supaya patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagi mengelak sekatan jalan raya, mereka menggunakan laluan tikus untuk merentas sempadan daerah atau negeri. Yang diarah kuarantin kendiri dan sudah dipakaikan gelang kuarantin pun dilihat bebas bergerak ke sana sini.

Arahan dan SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu bukan sengaja dicipta, tetapi ia sangat penting jika lebih 30 juta rakyat Malaysia mahu keadaan kembali seperti sedia kala sebelum pandemik Covid-19 melanda.

Lebih setahun sudah berlalu, tidak jemu-jemu menteri-menteri dan pegawai-pegawai kerajaan yang bertanggungjawab dalam hal kesihatan dan kawalan pergerakan menyampaikan pesan, merayu supaya seluruh rakyat sama-sama membantu memerangi virus berbahaya ini.

Segala langkah yang perlu sudah dilaksanakan kerajaan, namun kes Covid-19 di negara kita bukan berkurangan, sebaliknya jumlah jangkitan baharu dan kematian semakin membimbangkan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri merayu rakyat melakukan sekatan pergerakan kendiri atau self-lockdown untuk menyekat peningkatan mendadak COVID-19, menasihatkan supaya turut mengingatkan orang lain untuk berbuat perkara sama.

Beliau mengakui, apa pun usaha kerajaan tidak akan berkesan jika rakyat tidak patuh kepada SOP yang ditetapkan. Buatlah PKP penuh sekali pun, selagi rakyat tidak bersatu hati, selagi itulah Covid-19 akan terus menghantui.

“Sebaiknya kita bekerjasama, tak payah nak salah-menyalahkan, cari jalan, berdoa semoga kita diberikan perlindungan dan dengan usaha ini insya-Allah, kita akan menang,” kata Perdana Menteri dalam sebuah program bicara khas, baru-baru ini.

Salah-menyalahkan itu memang ada dalam kalangan kita, segala usaha kerajaan selalu diperlekehkan. Buat langkah itu tidak betul, buat langkah ini juga tidak betul, semuanya dituduh tidak betul.

Apa yang menyedihkan, ada juga sesetengah pihak membuat tuduhan yang langsung tiada asas. Dituduh bahawa kerajaan mengutamakan perniagaan-perniagaan besar, manakala peniaga kecil dipinggirkan, sedangkan kerajaan memberi pertimbangan kepada semua pihak.
Pertimbangan di antara hidup dan kehidupan perlu diambil kira dalam memutuskan pelaksanaan PKP bagi memastikan rakyat tidak terkesan teruk dengan langkah-langkah yang diambil kerajaan.

Disebabkan itu, kerajaan memutuskan tidak melaksanakan PKP penuh ketika ini seperti PKP 1.0 kerana ia akan menjejaskan kehidupan rakyat dan menyebabkan lebih ramai hilang pekerjaan, selain ketidakupayaan bangkit memulihkan kehidupan dan ekonomi.

Bayangkan jika ratusan ribu atau jutaan rakyat tidak bekerja, ekonomi pula runtuh dan perlu dibangunkan semula seperti yang berlaku pasca PKP 1.0 di mana kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja RM340 bilion melalui enam pakej rangsangan untuk membantu rakyat dan memulihkan ekonomi negara.

Penutupan semua sektor ekonomi ketika PKP 1.0 pada 18 Mac sehingga 3 Mei 2020 bukan sahaja menyebabkan negara kerugian kira-kira RM2.4 bilion setiap hari, tetapi ramai rakyat kehilangan pekerjaan selain peniaga kecil turut terjejas teruk.

Jika PKP penuh seperti itu dilaksanakan, negara berkemungkinan memerlukan sehingga setengah trilion ringgit bagi membantu rakyat dan merangsang semula ekonomi negara.

Ayuh sama-sama kita bersatu hati memerangi musuh tidak kelihatan ini. Patuhilah segala arahan dan larangan yang dikeluarkan, usahlah situasi cemas ketika ini dijadikan kesempatan untuk menghasut dan menanam bibit kebencian.

Terimalah hakikat bahawa ini adalah masalah bersama, masalah setiap peringkat rakyat Malaysia.
Nur Fitri Zulkarnain
Padang Temu
Melaka