Fakhrul Akmal menghasilkan karya seni grafiti ÒFree PalestineÓ sebagai tanda solidariti perjuangan Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bandar Baru Bangi, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 21 MEI 2021.

BEDILAN tanpa henti dan tanpa belas kasihan terhadap rakyat Palestin ketika sedang menunaikan ibadah di bulan Ramadan hingga kini membuktikan rejim zionis Israel adalah pengganas dunia. Siri serangan yang berlaku telah menyebabkan ribuan nyawa yang tidak bersalah melayang. Terbaru, perang yang tercetus selama hampir 2 minggu di Gaza telah mengorbankan 248 orang rakyat Palestin.

Jumlah ini meliputi 66 orang kanak-kanak dan 39 orang wanita. Keganasan yang
dihalalkan oleh kuasa besar dunia ini berterusan walaupun perdamaian melalui gencatan senjata acapkali dilakukan. Lebih memilukan senario ini membuktikan bahawa tiada kuasa atau badan pengaman dunia yang berupaya membantu di kala bumi Palestin berdarah kembali.

Situasi ini sesuai menggambarkan anarki dunia yang huru-hara, tanpa kawalan dan tanpa keadilan terhadap negara yang ditindas. Di mana peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mahupun Kuasa uni-multipolar global dalam krisis ini? Anarki menjelaskan keadaan huru-hara dan tiada lagi pimpinan hingga menyebabkan “chaos” atau kekacauan.

Peranan PBB sebagai sebuah pertubuhan antarabangsa yang ditubuhkan pada tahun 1945 susulan perang dunia kedua antara tujuan utamanya adalah menjamin hak asasi manusia, membela yang tertindas dari ketikadilan, kesamarataan, serta membawa keamanan dari perang yang membawa kesengsaraan kepada manusia.

Tetapi mengapakah lolongan suara rakyat Palestin masih tidak didengari sejak sekian lama?. Ini menunjukkan bahawa pertubuhan utama yang dianggotai oleh 193 negara dengan memegang gagasan keamanan ini telah dikawal dan dimanipulasi oleh kuasa besar untuk kepentingan mereka. Bahkan suara PBB juga semakin asing, dihalang dan tidak didengari berhubung isu Palestin.

Negara kuasa besar dunia hakikatnya memainkan peranan penting dalam membawa kestabilan bagi konflik ini. Sesebuah kuasa hegemoni sangat penting dalam membentuk kestabilan politik antarabangsa. Tanpa kewujudan sebuah kuasa hegemoni yang kuat dalam sistem antarabangsa, justeru kestabilan antarabangsa sukar untuk diwujudkan.

Hal ini berlalu apabila kuasa besar dunia Amerika Syarikat dan negara sekutu veto lain seperti Rusia, Britain, Perancis dan China terbukti tidak mampu memimpin untuk membawa perdamaian antara pihak yang menindas (Israel) dan ditindas (Palestin) selama puluhan tahun sehingga pembunuhan bebas berlaku atas tiket pengusiran, penjajahan, keganasan dan ‘pembersihan etnik’.

Malah naratif ini cuba diselingkupi oleh pihak Israel dan sekutunya dengan istilah-istilah baharu seperti keselamatan nasional, pembelaan bangsa, serangan balas dan sebagainya bagi menutup setiap jenayah dan propaganda yang dilakukan. Sistem Apartheid mendasari polisi Israel yang merupakan satu bentuk jenayah terancang kepada rakyat Palestin.

Apartheid dilakukan dengan membuat pembahagian semula kawasan bagi
mengekalkan dominasi Israel di bumi Palestin, memansuhkan perjanjian hakmilik Palestin dan menguasai sesuatu kawasan yang menjadi milik rakyat Palestin sepertimana yang berlaku di Sheikh Jarrah baru-baru ini di mana rakyat Palestin diusir secara paksa dari kediaman sendiri dan hak mereka dicabuli bagi memberi laluan penempatan baru kepada pendatang Zionis.

Hal ini didalangi oleh kekebalan undang-undang dan mahkamah yang dimonopoli oleh Israel. Episod penindasan, pencurian tanah dan pencerobohan terus di lakukan dalam bentuk tekanan undang-undang dan ketenteraan Israel sehingga kebebasan dan hak rakyat Palestin disekat. Natijahnya, tanah Palestin terus bergolak dan terbakar. Api peperangan ini disaksikan ‘sebelah mata’ oleh kuasa besar mahupun PBB tanpa campurtangan untuk tujuan rekonsiliasi.

Lantaran hal yang berlaku, di manakah pejuang kebebasan yang terulung dan pendokong hak asasi manusia saat rakyat Palestin diserang dengan mortar, peluru dan bom?. Laporan hak asasi manusia terhadap dua pihak yang berperang ini hanya tinggal di kertas saban tahun tanpa sebarang tindakan untuk meleraikan krisis dan mengambil tindakan terhadap Israel yang nyata telah melakukan jenayah kemanusiaan paling kejam di abad ini termasuklah melakukan pembunuhan, penghapusan etnik Palestin, penyeksaan, penindasan politik, bangsa dan agama serta tindakan lain yang tidak berperikemanusiaan.

Siri serangan besar-besaran yang berlaku kembali setelah perjanjian genjatan senjata dipersetujui menunjukkan usaha perdamaian masih jauh. Tambahan pula, perbuatan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan tentera Israel jelas merupakan pelanggaran hak asasi manusia yang serius. Walau bagaimanapun, percaturan Israel kali ini silap apabila masyarakat dunia mula menghidu agenda buruk dan keganasan yang dibuat terhadap Palestin.

Media sosial dan elektronik kini menjadi platform utama hak Palestin diperjuangkan dan kedaulatan mereka ditegakkan. Perang naratif di media sosial ini membantu untuk memberi penjelasan yang sebenar akan situasi yang dihadapi oleh rakyat Palestin yang sering dianaktirikan oleh media barat pro-Israel. Ternyata semangat tinggi anak muda dan penduduk dunia yang terus menerus memberikan advokasi berkaitan isu kesamarataan dan keadilan sejagat mampu menewaskan naratif dan imej palsu Israel di mata dunia.

Malah, artikel agensi berita yang condong menyokong perbuatan terkutuk Israel juga sudah tidak mampu lagi menandingi jutaan hantaran dan muat naik di media sosial mengenai kekejaman kerajaan Zionis Israel bagi menyedarkan dan memperlihatkan warga dunia tentang penderitaan dan kesengsaraan rakyat Palestin. Justeru, sebagai penduduk dunia yang prihatin dan khususnya sebagai umat Islam, setiap dari kita harus peka dan sedar akan krisis dialami oleh saudara seagama di Palestin.

Jangan hanya berani dan seronok menyebarkan mahupun membuat ‘viral’ isu-isu remeh di Malaysia. Dengan mengembleng dan memaksimakan pengaruh media sosial dalam menyebarluaskan realiti sebenar yang berlaku di Palestin, rakyat dunia mampu memberikan tekanan kepada kuasa-kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat dan sekutunya agar membuka mata dan bertindak sewajarnya dalam isu ini.

Bak kata pepatah ‘bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat’.
Walau sebesar mana kuasa yang terlibat dengan isu kekejaman rakyat Palestin ini, dengan perpaduan dan kesatuan yang ditunjukkan oleh masyarakat dunia, senyuman rakyat Palestin yang sudah hilang akan muncul kembali.

Dr Abdul Rashid Abdul Aziz
Pensyarah Kanan | Program Kaunseling
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast