Orang awam diberi suntikan vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SYAFIQ AMBAK, 05 MEI 2021.

GEORGE TOWN – Sektor pembuatan di Pulau Pinang berharap Kerajaan Persekutuan akan mempercepatkan pelaksanaan program vaksinasi secara besar-besaran untuk barisan hadapan ekonomi apabila kumpulan vaksin COVID-19 yang baharu tiba di Malaysia, dijangka pada Jun.

Penasihat Khas Pelaburan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Datuk Lee Kah Choon berkata, beberapa persatuan pembuatan telah membuat persiapan untuk melaksanakan program vaksinasi secara besar-besaran untuk pekerja industri.

Beliau berkata, kaedah yang diselaraskan di bawah Model Imunisasi Perkongsian Awam-Swasta diperlukan untuk menyelaraskan vaksinasi secara besar-besaran dengan berkesan untuk barisan hadapan ekonomi dan mencapai imuniti kelompok.

“Dengan Pulau Pinang sebagai antara penerima pelaburan langsung asing yang utama antara negeri-negeri di Malaysia, kami berharap kerajaan Persekutuan dapat mempercepatkan pelaksanaan program vaksinasi secara besar-besaran untuk pekerja kami apabila kumpulan vaksin yang baharu tiba di Malaysia,” katanya pada sidang media secara maya di sini hari ini.

Turut hadir wakil dari Persatuan Syarikat Zon Perindustrian Bebas Pulau Pinang, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), InvestPenang, Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) dan Persatuan Industri Perubatan Malaysia.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah memperkenalkan Model Imunisasi Perkongsian Awam-Swasta, membolehkan syarikat dengan lebih 1,500 pekerja mewujudkan pusat vaksinasi di lokasi tertentu, dan kerajaan akan menanggung kos vaksin manakala perbelanjaan logistik dan kakitangan perubatan akan ditanggung oleh sektor swasta.

Sementara itu, Setiausaha Agung SAMENTA Yeoh Seng Hooi berkata antara kebimbangannya dengan program vaksinasi secara besar-besaran ialah logistik vaksin, sama ada ia akan dapat mencapai perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Yeoh berkata PKS antara penyumbang ekonomi yang terbesar di Malaysia, tetapi pada masa sama, sektor itu yang paling teruk terjejas semasa pandemik COVID-19.

“Pelaksanaan vaksin akan menjadi amat penting (bagi PKS), justeru, kami berharap jika terdapat program vaksinasi secara besar-besaran, kami dibenarkan untuk menjadi sebahagian daripadanya bersama syarikat-syarikat yang lebih besar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast