Orang ramai beratur panjang menunggu giliran untuk mendapatkan suntikan Vaksin COVID-19 jenis AstraZeneca ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Pemberian Vaksin WTCKL, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 29 MEI 2021.

SEMAKIN ramai yang sedar dan nak vaksin Covid-19. Buktinya kesesakan terhadap proses pendaftaran vaksin Astrazeneca baru-baru ini.

Ramai yang anggap mereka frontliners yang patut dapat vaksin, antaranya rakan-rakan media, pekerja-pekera di rangkaian restoran, pekerja-pekerja yang bekerja di tempat-tempat penting, pejabat-pejabat kerajaan, pekerja yang banyak berinteraksi secara langsung contohnya para guru atau pendidik, pekerja di kaunter, yang banyak bertemu pelanggan. Semua ini merasakan mereka adalah frontliners.

Kalau kita nilai semula, golongan ini tinggi kesedarannya bahawa mereka mempunyai risiko yang sangat tinggi setiap hari ketika melakukan tugas.

Termasuklah pemandu lori bagi menghantar barangan essential harian. Pekedai runcit juga menganggap bahawa mereka berisiko tinggi ketika berniaga.

Risiko tinggi ketika berusuan dengan ramai orang maka mereka terdedah kepada jangkitan virus maut ini.

Golongan ini kadang-kadang rasa risau dan takut serta paranoid dari hari ke hari kerana mereka tak boleh kerja dari rumah.

Laporan harian jangkitan Covid-19 harian pula makin memuncak. Kalau tahun lalu kita dengar 100 kes sehari pun dah gentar, tapi sekarang kita mencatatkan bagaikan 8,000 kes sehari. Dan mereka merasakan frontliners yang sangat penting.

Tapi kita patut sedar bahawa frontliners adalah petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM), petugas agensi-agensi yang berurusan langsung menggendalikan sendiri, membawa dan merawat pesakit Covid-19.

Contohnya jururawat, doktor, petugas di makmal KKM, pemandu ambulans, pemandu bas membawa pesakit Covid-19 dan petugas-petugas jabatan kecemasan hospital kerajaan.

Berdasarkan definasi ini, jelaslah menunjukkan golongan yang berisiko tinggi mendapat jangkitan Covid-19 ketika bekerja dan bertugas dengan pelbagai jenis pelanggan atau responden bukanlah frontliners atau petugas barisan hadapan, tapi mereka adalah golongan yang berisiko tinggi.

Di Singapura golongan berisiko tinggi memang diberi keutamaan juga untuk vaksinasi tapi mereka tidak dikategorikan sebagai frontliners, malah pemandu lori dari Malaysia yang membawa produk essential turut dimasukkan dalam kategori ini. Kerana jika mereka ada virus, mereka boleh jadi punca penularan kluster baru.

Jika kita faham dan sedar mengenai hal ini, maka kita tidak perlulah mementingkan diri sendiri dan sentiasa mendesak-desak bahawa kita adalah fronltiners tetapi kita segera mendaftar dan mengharap giliran sampai cepat mungkin.

Pada masa sama tanggungjawab kita tidak kurang pentingnya dengan petugas frontliners tadi kerana kita boleh sama-sama cegah jangkitan wabak maut ini.

Sebaliknya jika kita mengabaikan norma baharu dan Prosedur Operasi Standard atau SOP, sambil lewa dan tidak waspada, kita mungkin saja menjadi punca jangkitan kepada anak-anak, keluarga, ibu bapa, kariah masjid, orang kampung sekitar perumahan malah menambah jumlah jangkitan baru di daerah atau negeri kita sendiri.

Peranan ini sangat besar dan mestilah diutamakan sepanjang masa mudah-mudahan kita semua bebas dan terhindar daripada virus maut ini dan pada masa sama mendapat berkat daripada ikhtiar dan amal baik kita ini iaitu mencegah jangkitan, melindungi diri, melindungi orang yang disayangi dan menghentikan pandemik yang melanda tanah air kita.

Selamat berjuang.

IBRAHIM MD SYUKRI
Putrajaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast