Sunil Chhetri.

KUALA LUMPUR – Kapten pasukan India, Sunil Chhetri mencipta rekod baharu apabila berjaya memintas rekod jaringan Lionel Messi di peringkat antarabangsa selepas menjaringkan dua gol dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 semalam.

Chheteri menjaringkan dua gol, masing-masing pada minit ke-79 dan ke-92 perlawanan untuk memberikan kemenangan 2-0 kepada India ke atas Bangladesh dalam saingan Kumpulan E di Stadium Jassim Bin Hamad di Doha.

“Kami mendapat tiga mata dan lebih manis saya beraksi penuh. Saya juga gembira kerana gawang kami turut tidak dibocori,” katanya yang berusia 36 tahun selepas perlawanan.

Secara keseluruhan Chhetri telah menjaringkan 74 gol dari 117 perlawanan antarabangsa menjadikan dia pemain kedua terbanyak menjaringkan gol di pentas antarabangsa dalam kalangan pemain yang masih aktif.

Jumlah jaringan oleh Chhetri kini hanya di belakang kapten Portugal, Cristiano Ronaldo yang telah menghasilkan 103 gol dari 174 penampilan.

Rekod jaringan menakjubkan itu bermakna dia juga memintas jumlah jaringan penyerang UAE, Ali Mabkhout di dalam senarai penjaring gol.

Mabkhout telah melakar 73 gol daripada 89 perlawanan termasuk jaringan menentang Malaysia tempoh hari.

Messi pula setakat ini telah menyumbat 72 gol dari 143 penampilan untuk Argentina.

Chhetri bagaimanapun berada pada kedudukan ke-11 senarai penuh penjaring terbanyak gol antarabangsa sepanjang zaman.

Ali Daei dari Iran kekal pendahulu dengan jumlah 109 jaringan dari 149 penampilan untuk negaranya dan ia adalah rekod yang semakin dihampiri oleh Ronaldo yang akan mengemudi cabaran Portugal di Euro 2020 bermula hujung minggu ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast