Kenderaan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal keluar dari pintu 2 Istana Negara susulan pemimpin parti politik utama di negara ini termasuk pembangkang, dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara. Foto MOHD ADZLAN, 10 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal merupakan pemimpin politik keempat yang menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) di Istana Negara, hari ini.

Mohd Shafie kelihatan menaiki kenderaan jenis Range Rover berwarna hitam memasuki Istana Negara melalui Pintu 2, Changkat Semantan, kira-kira jam 3.10 petang.

Bagaimanapun selepas sejam pertemuan itu, Mohd Shafie terus beredar meninggalkan Istana Negara tanpa menyapa petugas-petugas media kira-kira jam 4.20 petang.

Perjumpaan khas pemimpin utama parti politik bersama Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kali ini memasuki hari kedua.

Seramai lapan pemimpin sudah menghadap YDPA, didahului dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Pada pertemuan hari ini, seramai empat pemimpin telah menghadap YDPA sejak awal pagi tadi.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man antara pemimpin parti kerajaan yang hadir dalam pertemuan di Istana Negara kira-kira jam 10.22 pagi tadi.

Kehadiran Tuan Ibrahim mewakili Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Seusai pertemuan empat mata itu, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong pula menghadiri perjumpaan khas tersebut tiba melalui Pintu 2, Istana Negara pada jam 11.58 pagi.

Selepas hampir sejam pertemuan itu, Ka Siong yang menaiki kenderaan jenis Vellfire berwarna hitam beredar pada jam 12.52 tengah hari.

Bagaimanapun Menteri Pengangkutan itu tidak memberhentikan kenderaan dan terus meninggalkan pekarangan Istana Negara.

Turut hadir Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menaiki Proton X70 berwarna kelabu tiba Pintu 2, Istana Negara, kira-kira 1.58 petang.

Bagaimanapun bekas Perdana Menteri itu beredar meninggalkan Istana Negara kira-kira jam 3 petang tadi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast