Kenderaan yang membawa Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran berjalan keluar selepas selepas mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam satu pertemuan khas bersama pemimpin utama parti politik di Pintu 2, Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 11 JUN 2021.

KUALA LUMPUR – Selepas wakil UMNO selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kini tiba giliran MIC pula.

Pada pertemuan itu, MIC diwakili presidennya, Tan Sri S.A.Vigneswaran yang tiba di Istana Negara kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Vigneswaran yang dipercayai menaiki kenderaan jenis Mercedes-Benz berwarna putih kelihatan melepasi Pintu 2 Istana Negara selang lima minit selepas kehadiran Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau kemudian beredar pukul 11.15 pagi dari Istana Negara selepas sejam mengadakan pertemuan dengan YDPA.

Bagaimanapun Vigneswaran tidak memberhentikan keretanya bagi memberi peluang kepada petugas media merakam gambarnya selepas selesai pertemuan empat mata bersama YDPA itu. – MalaysiaGazette