Senator Datuk Razali Idris.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mewujudkan pusat tahanan dan pemulihan khas bagi golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Pengerusi Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris berkata, keperluan pusat tahanan dan pemulihan khas ada rasionalnya bagi menangani masalah golongan itu yang mencabar pihak berkuasa.

Terkini kes usahawan kosmetik transgender yang menayangkan payu dara secara langsung di platform media sosial baharu serta melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap kanak-kanak lelaki di bawah umur.

Justeru Razali mencadangkan supaya mewujudkan satu pusat tahanan dan pemulihan khas LGBT bagi merawat dan membimbing golongan itu ke arah kebaikan kerohanian kesejahteraan rakyat.

“Saya percaya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sudah mempunyai modul dan program bagi mendekati golongan LGBT supaya mereka tidak berasa terpinggir,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Razali, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara mengesyorkan pendidikan mengenai LGBT seharusnya bermula di peringkat sekolah supaya pelajar terdedah kepada bahaya gejala gaya hidup yang menjurus pada seks bebas, kerosakan institusi kekeluargaan serta masyarakat dan penyumbang kepada penularan jangkitan HIV.

Guru kaunseling perlu memainkan peranan menyebarkan maklumat mengenai perkara itu dan bagaimana untuk mengelak atau menangani permasalahan terbabit, katanya.

“Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara berterima kasih di atas keprihatinan rakyat Malaysia yang menegur golongan LGBT yang melampau ini serta penguatkuasaan tegas termasuk menahan golongan LGBT yang dikenal pasti oleh PDRM.

“Masyarakat tidak boleh membiarkan kebiadaban golongan LGBT ini yang begitu terbuka dan berleluasa,” katanya.- MalaysiaGazette