Khidmat masyarakat yang digerakkan Ketuanya, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal itu memberikan perkhidmatan percuma sebagai sukarelawan bukan kesihatan.
Khidmat masyarakat yang digerakkan Ketuanya, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal itu memberikan perkhidmatan percuma sebagai sukarelawan bukan kesihatan.

KUALA LUMPUR – Sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Armada Nasional Bersatu (Armada) melancarkan kempen 100 jam sukarelawan Vaksin Covid-19.

Menurut Ketua Penerangannya, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, kempen politik khidmat itu adalah terjemahan tekad siasah anak muda sebagai salah satu bentuk kebajikan membantu kerajaan mengoptimumkan imuniti kelompok.

“Kempen yang dimulakan oleh Ketua Armada Nasional sejak 7 Jun 2021 itu yang menyasarkan pertambahan sukarelawan dari jumlah lebih 300 orang sukarelawan Armada sedia ada kepada 5,000 sukarelawan vaksin Armada yang melibatkan jumlah sasaran 30 orang sukarelawan dari 191 bahagian seluruh Malaysia.

“Armada Bersatu setiap bahagian Parlimen dengan kerjasama Srikandi Muda diperuntukkan untuk berkhidmat dalam Parlimen masing-masing sekurang-kurangnya 100 jam bagi membantu masyarakat setempat.

“Tidak semestinya melalui sistem sukarelawan yang telah ditetapkan pihak kerajaan namun perlu memastikan ada kerjasama (yang telah dibina) dengan pemantauan agensi-agensi terlibat dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khidmat masyarakat yang digerakkan Ketuanya, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal itu memberikan perkhidmatan percuma sebagai sukarelawan bukan kesihatan.

Malah kesemua mereka turut terlibat secara langsung melalui program sukarelawan anjuran kerajaan seperti MyVac atau organisasi seperti Salam Alliance yang ada memberikan sedikit elaun atas khidmat kesukarelawan.

Jelas Mohd Ashraf Mustaqim lagi, inisiatif itu turut menunjukkan pertambahan jumlah sukarelawan Armada dengan begitu ketara sekali.

“Melalui bantuan pelbagai agensi, juga selain inisiatif tersendiri. Armada dari Perlis hingga ke Sabah telah mula berkhidmat di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), selaku sukarelawan bukan kesihatan.

“Ada yang menolong golongan warga emas, golongan kurang upaya, ada yang jaga parkir, malah di kebanyakkan bahagian utamanya di luar bandar telah mula melakukan inisiatif mendaftarkan vaksin kepada warga emas dan pelbagai golongan di kampung-kampung kawasan masing-masing,” katanya lagi. – MalaysiaGazette