Hasni Mohammad

JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor bersedia mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kadar segera selaras peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor.

Menteri Besarnya, Datuk Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri juga menjunjung kasih dan mengalu-alukan titah dan pengzahiran yang telah dibuat oleh Yang diPertuan Agiong dam Raja-Raja Melayu semalam.

Perrsidangan Khas Raja-Raja Melayu semalam menyatakan secara jelas pendirian mengenai Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dalam menangani pandemik Covid-19.

“Kerajaan negeri akan mengenal pasti tarikh yang sesuai supaya persidangan DUN Johor dapat dijalankan segera. Kerajaan negeri sentiasa menjunjung tinggi proses serta amalan demokrasi ‘Cara Johor’ sejak dahulu lagi yang amat menekankan aspek permuafakatan.

“Atas nasihat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, saya sudah mengadakan perbincangan khas secara maya mengenai langkah yang boleh diambil dalam mendepani pandemik Covid-19 bersama ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor  baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.

Sementara itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin pula dilaporkan berkata, perkara itu perlu dilaksanakan untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli Dewan Rakyat.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara semalam.-MalaysiaGazette