Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra bersama pegawai polis yang bertugas ketika hadir untuk menyampaikan sumbangan Raya kepada petugas sekatan Jalan Raya (SJR) di Tol USJ, Subang Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 12 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Tidak terbatas dengan hanya menjaga kedaulatan negara sahaja, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat kreatif dalam membantu kerajaan untuk menangani penularan Covid-19.

Menurut Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Datuk Sharuddin Omar, Ismail Sabri tidak terlalu selesa sebagai Menteri Pertahanan malah berusaha menggerakkan fasiliti pertahanan dalam membantu kerajaan memerangi pandemik itu.

“Menterinya amat kreatif dalam menyesuaikan aset dan kepakaran ATM untuk membantu kerajaan dalam usaha mempercepatkan pemulihan rawatan kepada pesakit sekali gus mengurangkan kesesakan di hospital-hospital awam.

“Apa yang dihasrat Ismail Sabri melalui salah satu inisiatif kementerian merupakan tindakan cukup baik bagi membantu kerajaan dan negara secara menyeluruh bagi mempercepat mengatasi masalah pandemik,” kata beliau kepada MalaysiaGazette.

Sharuddin berkata, langkah Ismail menggerakkan aset-aset dibawah ATM dengan mengambil kira kemampuan pihak keselamatan itu dengan mewujudkan hospital medan yang dilihat sesuai di kawasan pedalaman.

Buat masa ini, Ismail Sabri telah menggerakkan enam buah hospital medan yang sudah beroperasi terletak di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang; Kapit, Sarawak; Pokok Sena, Kedah; Kepala Batas, Pulau Pinang; Tawau, Sabah.

Yang terbaharu adalah di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

“Penglibatan Kementerian Pertahanan secara menyeluruh telah memberikan sumbangan besar dalam menghadapi ancaman negara,” katanya.

Nada sama turut diketengahkan Persatuan Veteran Pasukan Khas Laut (Paskal).

Presidennya, Laksamana Madya Datuk Nasaruddin Othman berkata, operasi ketenteraan dalam ATM umpamanya doktrin Military Operations Other Than War (MOOTW) dilihat melangkaui peperangan yang mencermikan tugas-tugas lain ATM selain siapsiaga perperangan.

Tambah beliau, tugas pasukan keselamatan ini bukan sahaja untuk berperang melawan musuh tetapi sentiasa bersedia mempertahankan serangan dalaman.

“Ismail Sabri optimis menggerakkan kepakaran ketenteraan dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Beliau juga telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab atas kapasiti jawatannya dalam memastikan kebajikan tentera termasuk bekas tentera seperti dalam program perumahan dan sebagainya sebagai menghargai jasa pasukan itu dalam menjaga keamanan negara.

“Ia termasuk memastikan peranan pasukan tentera dalam memberi khidmat kepada masyarakat melangkaui sempadan tugas hakiki seperti mengadapi bencana alam, bantuan perubatan, menyediakan kemudahan asas seperti jambatan atau jalan raya yang rosak akibat banjir terutama di kawasan pedalaman seperti di Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Ketua Cawangan Provos Marsyal Tentera Udara Malaysia (TUDM), Kapten (B) Abdul Rahmat Omar berkata, Ismail Sabri tidak pernah melupakan khidmat yang diberikan kepada ATM.

Walaupun baru setahun lebih memegang jawatan itu, Abdul Rahmat berkata pelbagai bantuan telah disalurkan terutamanya kepada bekas tentera yang terkesan akibat pandemik terutamanya melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) sejak bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 tahun lalu lagi.

“Kalau ada penambahbaikan yang boleh saya cadangkan, elok sekiranya Veteran ATM dibenarkan untuk mendaftar dengan hospital dan rumah sakit ATM di seluruh negara untuk menerima vaksin kerana ramai yang sudah berumur dan mempunyai penyakit komorbiditi. Ini secara langsung dapat mempercepatkan kadar vaksinasi di negara kita,” katanya.

Pada 3 Jun lalu, Ismail Sabri berkata, ATM akan membina enam lagi Hospital Medan bagi menampung jumlah pesakit Covid-19 yang kian meningkat.

Pembinaan berkenaan adalah selaras dengan pengumuman kerajaan yang memperuntukkan sebanyak RM1 bilion bagi meningkatkan kapasiti dan memperkukuhkan kesihatan awam di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Tambahan) pada 31 Mei lalu. – MalaysiaGazette